
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan telah melaksanakan beberapa dasar dan enakmen baharu sebagai langkah strategik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil tradisional seperti perhutanan, perlombongan dan premium tanah.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, antara pendekatan utama yang dilaksanakan ialah polisi moniteri melalui enakmen berkaitan sumber air dan hak akses sekuriti, yang mula menjana pendapatan negeri.
“Contohnya, melalui Enakmen Hak Akses dan Penggunaan Tanah Infrastruktur Utiliti Negeri Kelantan, kutipan hasil bagi tempoh 2022 hingga Jun 2025 telah mencecah sebanyak RM12.1 juta,” katanya.
Katanya lagi, kutipan tersebut melibatkan perkhidmatan seperti telekomunikasi, menara, audit menara, pembentungan, air dan elektrik.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kamaruzaman Mohamad (PN-Gual Periok) dalam Persidangan Kali Kedua bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas 2025, hari ketiga, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri turut melaksanakan polisi bukan moniteri melalui penubuhan Jawatankuasa Kawal Selia bagi merancang dan menyelaras projek pembangunan, yang telah menjana kutipan sebanyak RM52.4 juta dari tahun 2019 hingga 2024.
Selain itu ujarnya, inisiatif di bawah sektor pertanian juga diambil melalui pewujudan Enakmen Pemajuan Pertanian Negeri 2022, yang kini berada di peringkat penyelarasan pelaksanaan dan dijangka menjadi sumber hasil baharu kepada negeri.
“Kerajaan juga sedang meneroka pelbagai sumber hasil baharu seperti perlombongan unsur nadir bumi (REE), pembangunan tenaga boleh baharu, serta inisiatif penerokaan karbon dan hidrogen yang berpotensi menjana pendapatan baharu,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 23/7/2025











