
KUALA LUMPUR: Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) meminta kerajaan meneliti semula pelantikan Ketua Audit Negara serta memperkukuh kebebasan institusi tersebut bagi memastikan kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam.
Beliau berkata, pelantikan Ketua Audit Negara yang masih berada dalam perkhidmatan bertentangan dengan amalan konvensional, memandangkan kesemua penyandang terdahulu dilantik selepas bersara daripada jawatan dalam perkhidmatan awam.
“Untuk rekod, sejak tahun 1966, semua Ketua Audit Negara yang dilantik daripada mereka yang bukan yang sedang berkhidmat. Antara yang pernah menyandang jawatan itu termasuk S. Khandiah (1966-1969), Mohd Zain Ahmad (1969-1975), Ahmad Nordin Zakaria (1975-1986),
“Ishak Tadin (1986-1994), Khalil Mohd Noor (1994-2000), Hadenan Abdul Jalil (2000-2006), Tan Sri Ambrin Buang (2006-2017), Tan Sri Madinah Mohamad (2017-2019) dan Nik Azman Nik Abdul Majid (2019-2023).
“Sembilan individu ini semuanya daripada mereka yang tidak berkhidmat atau telahpun pencen pada perjawatan (perkhidmatan awam) kecuali yang ada sekarang. Itu dipersoalkan oleh pelbagai pihak. Saya bersetuju dengan apa dipersoalkan tersebut,” katanya ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menurut beliau, dokumen yang dikemukakan kepada Parlimen itu juga terlalu ringkas dan tidak memberikan gambaran menyeluruh terhadap tahap kecekapan pengurusan serta perbelanjaan awam oleh kementerian dan agensi kerajaan.
“Diberi ruang kepada 2,000 entiti untuk diaudit. Tapi malangnya dengan 2,000 audit tersebut setebal ini saja laporan audit yang kita terima pada hari ini,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa hanya beberapa kementerian seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menjadi tumpuan laporan tersebut.
“Di sini mungkin ada sedikit politik di kalangan audit. Jadi atas hal demikian kita minta supaya apa yang dicadangkan oleh Ketua Audit walaupun mungkin tidak sah laporan tersebut kerana beliau pun dilantik tidak sah. Cuma diberi perhatian serius oleh pemerintah hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2025











