Pengumuman Anwar tak ‘gempak’, tetap ke HTA 26 Julai

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohamad Firdaus Mohamed Nawi menyifatkan pengumuman bantuan RM100 dan cuti umum tambahan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai satu lagi episod kekecewaan dan pembaziran harapan rakyat.

- Advertisement -

Pengumuman digembar-gemburkan sebagai besar dan ‘wow’ itu katanya, tidak memberi sebarang impak sebenar kepada kehidupan rakyat marhaen yang sedang bergelut dengan kos sara hidup tinggi.

“RM100 memang ada nilainya, tapi dalam realiti hari ini ia hanya cukup untuk dua bungkus beras dan sebotol minyak masak. Itu tidak menyentuh isu besar yang sedang rakyat hadapi.

“Iaitu harga barang yang naik tanpa kawalan, gaji minima yang tidak relevan dengan kos hidup serta kadar pengangguran dalam kalangan anak muda,” katanya.

Menurut beliau lagi, cuti umum tambahan pada 15 September hanya sekadar langkah populis yang tidak menyelesaikan apa-apa masalah asas rakyat.

“Peniaga kecil lebih risaukan pelanggan daripada bercuti, manakala pekerja kontrak dan harian pula langsung tidak mendapat faedah daripada cuti tersebut.

“Lebih ironi, cuti diumum kononnya untuk menghargai rakyat sedangkan rakyat sedang terbeban dengan gaji statik, subsidi terhad dan kadar sewa rumah melambung,” ujarnya lagi.

Beliau turut membandingkan pendekatan pentadbiran terdahulu yang lebih realistik dan tidak bersifat gimik apabila menyalurkan bantuan dengan jumlah besar tanpa persembahan media atau sidang khas.

“Era Najib Razak memperkenalkan BR1M sehingga RM1,200 dan Muhyiddin Yassin menyalurkan moratorium dan subsidi gaji sewaktu pandemik, manakala Ismail Sabri pula meneruskan BKM sehingga RM2,500.

“Mereka tidak perlu gimik murahan. Mereka berikan bantuan dahulu baru umum. Bukan mempermainkan emosi rakyat dengan janji besar tapi isi kosong,” tegasnya.

Firdaus menegaskan bahawa rakyat khususnya anak muda sudah cukup sabar dengan pendekatan pentadbiran yang lebih menjaga persepsi media daripada realiti hidup rakyat.

“Kami tidak menolak bantuan atau usaha kerajaan tetapi kami menolak permainan politik murahan yang memperbodohkan rakyat. Pengumuman ini bukan penyelesaian. Ia hanyalah bantuan kecil dalam ribut besar kehidupan rakyat,” katanya lagi.

Tambahnya, anak muda akan tetap turun pada Himpunan Turun Anwar (HTA) pada 26 Julai ini di Ibu Negara, Kuala Lumpur.

“Bukan kerana tidak bersyukur, tetapi kerana kami tidak rela dipermainkan dengan janji yang dibungkus cantik tetapi kosong di dalamnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2025

- Advertisement -