Lantikan Ketua Audit dipersoal, adakah LKAN 2025 sah?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menggesa kerajaan memberikan penjelasan segera mengenai kesahihan pelantikan Ketua Audit Negara, susulan penyandang jawatan itu masih merupakan pegawai perkhidmatan awam ketika dilantik.

- Advertisement -

Menurut beliau, pelantikan tersebut telah menimbulkan persoalan besar terhadap keabsahan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2025 yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Ini telah dibentangkan. Untuk menjadikan laporan Ketua Audit Negara ini sah maka orang yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan dan menyelia laporan ini mestilah orang yang sah dilantik mengikut Perlembagaan dan undang-undang.

“Dalam laporan ini muka surat A3 ianya ditandatangani oleh Ketua Audit Negara yang bernama Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Razi. Di bilangan yang terakhir B1 penutupnya ia telah disahkan oleh Ketua Audit Negara Putrajaya, 2 Mei 2025.

“Saya ingin menarik perhatian Dewan ini kepada Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan yang bertajuk Ketua Audit Negara. Pertama hendaklah ada seorang Ketua Audit Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Seterus kepada Perkara 105 Fasal 4 yang berbunyi, Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan atau emolumen Ketua Audit Negara dan saraan yang diperuntukkan sedemikian hendaklah dipertanggungjawabkan kepada kumpulan wang disatukan.

“Apa maksud Perkara 105 Fasal 4 ini? Saya berpandangan dengan jelasnya bahawa ini bermaksud jawatan Ketua Audit Negara tidak boleh dari kalangan pegawai awam yang sedang berkhidmat. Ketua Audit Negara sekarang ini masih lagi dalam perkhidmatan awam Persekutuan. Jawatan terakhirnya adalah di Institut Integriti Malaysia.

“Beliau masih lagi sebagai seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Adakah beliau boleh dilantik sebagai Ketua Audit Negara berdasarkan 105 Fasal 4 ini?” soalnya ketika membahaskan laporan tersebut di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Malah beliau berkata, pandangan undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara juga selari menyatakan bahawa pelantikan lazimnya bukan dari kalangan anggota perkhidmatan awam, malah dibuat secara kontrak.

“Saya ingin merujuk kepada satu pandangan daripada Jabatan Peguam Negara yang berbunyi pandangan undang-undang bahagian ini, di agensi difahamkan dari segi amalan sekarang pelantikan Ketua Audit Negara adalah bukan daripada kalangan anggota perkhidmatan awam.

“Pelantikan dibuat secara kontrak yang memperuntukkan terma dan juga syarat perkhidmatan Ketua Audit Negara sebagaimana di dalam Perkara 105 Fasal 4 dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Takiyuddin turut mempersoalkan kemampuan Ketua Audit Negara untuk melaksanakan tugas secara bebas sekiranya masih tertakluk kepada struktur pentadbiran kerajaan.

“Adakah pelantikan Ketua Audit Negara daripada kalangan pegawai yang masih berkhidmat di dalam perkhidmatan awam adalah sah mengikut Perlembagaan kerana ianya sudah tentulah berlaku kepentingan?

“Beliau yang bertugas masih lagi sebagai PTD, ketua di atasnya ‘immediate bos’ beliau adalah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bos lagi atas adalah Ketua Setiausaha Negara.

“Bagaimana seorang Ketua Audit Negara yang dilantik di kalangan pegawai masih berkhidmat untuk membuat ‘auditing’ ataupun pemeriksaan terhadap tugas yang dilaksanakan oleh ‘superior’ daripada beliau sendiri?” soalnya.

Tegas Takiyuddin, sekiranya pelantikan Ketua Audit Negara tidak mematuhi syarat sah Perlembagaan, maka semua tugas rasmi yang dijalankan termasuk laporan audit yang dibentangkan tidak boleh dianggap sah.

“Jika sekiranya pelantikan Ketua Audit Negara yang bertanggungjawab mengeluarkan Laporan Ketua Audit Negara 2025 ini, pelantikan yang tidak sah maka tugas yang dilaksanakan oleh beliau mengikut Perlembagaan pada pandangan saya, adalah tidak sah sama sekali walaupun diluluskan oleh Parlimen,” ujarnya.

Beliau turut merujuk kepada dokumen rasmi kerajaan ‘Official Book 1963’ yang menyenaraikan jawatan-jawatan utama negara, termasuk Ketua Audit Negara, sebagai pelantikan khas yang perlu mematuhi Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 23/7/2025

- Advertisement -