FELCRA gagal patuh tatakelola, rugi ratusan juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu), membidas FELCRA Berhad yang didapati gagal mematuhi prosedur perolehan dengan betul sehingga menyebabkan kerugian besar dalam pelaburan ladang sawit sebagaimana dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bilangan 2 Tahun 2025.

- Advertisement -

Memetik ayat daripada surah al-Qasas ayat 26 sebagai mukadimah perbahasannya, beliau menekankan peri pentingnya sifat al-Qawiy al-Amin (kuat dan amanah) dalam pentadbiran sesebuah organisasi, khususnya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti FELCRA.

“Tulang punggung kepada kekuatan organisasi terletak kepada integriti. Kalau baik kedua-duanya, baiklah organisasi itu. Kalau rosak salah satu, maka rosaklah organisasi itu,” ujarnya ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, laporan audit tersebut menunjukkan terdapat kelemahan serius dalam tatakelola perolehan ladang sawit FELCRA di Sabah dan Kelantan berjumlah RM241.76 juta, termasuk pembelian Ladang Telupid tanpa kajian daya maju yang telus serta tiada bukti pelantikan perunding luar bebas.

“Keputusan pembelian dibuat tanpa merujuk lembaga pengarah, tiada ‘due diligence’, tiada penilaian objektif pasaran, dan pelaburan yang dibuat adalah sangat berisiko,” katanya.

Jelas Bakri, fungsi FELCRA adalah untuk memajukan tanah marginal demi meningkatkan sosioekonomi rakyat, namun keputusan pembelian ladang yang berada di kawasan berbukit dan tanah kurang sesuai menyalahi prinsip keberdayaan.

Berdasarkan laporan audit juga katanya, hasil sawit ladang Telupid juga dilaporkan jauh di bawah sasaran hanya sekitar 3 tan metrik sehektar bagi tahun 2022-2024, berbanding unjuran 12 tan metrik sehektar menjelang 2025.

“Ini merupakan keputusan pelaburan yang salah, tidak tepat dan sangat merugikan,” ujarnya, sambil menyifatkan pelaburan FELCRA sebagai ‘tata ke laut’ bukannya ‘tatakelola’.

Beliau turut mempersoalkan mengapa FELCRA kerap muncul dalam laporan audit saban tahun, menyatakan kemungkinan berlakunya pemilihan audit secara terpilih atau terlalu banyak masalah dalam pengurusan FELCRA sendiri.

“Saya berpandangan bahawa pusingan pengauditan FELCRA terlalu cepat. Ini membangkitkan persoalan tentang kaedah pemilihan syarikat yang diaudit,” katanya.

Beliau juga menyeru agar lantikan ahli lembaga pengarah FELCRA selepas ini terdiri daripada individu yang benar-benar memahami industri perladangan dan bukan sekadar lantikan politik semata-mata.

“Biar yang dilantik itu faham tentang tatakelola dan memiliki ilmu berkaitan industri. Jangan kerana tiada kepakaran, rakyat pula yang terpaksa menanggung kerugian,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 23/7/2025

- Advertisement -