Perlis sedia Garis Panduan Hiburan Patuh Syariah

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis terus komited dalam memastikan segala bentuk hiburan yang dianjurkan di negeri ini selari dengan ajaran Islam dan budaya tempatan menerusi pelaksanaan Garis Panduan Hiburan Patuh Syariah.

- Advertisement -

Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, inisiatif ini bertujuan menstrukturkan semula penganjuran hiburan agar tidak bercanggah dengan nilai syarak serta menjaga sensitiviti masyarakat Islam di Perlis.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan dan Sumber Manusia Negeri itu berkata demikian ketika sesi Taklimat dan Pencerahan Garis Panduan Acara Persembahan Hiburan Negeri Perlis yang diadakan di Kompleks Seri Putra di sini, kelmarin.

“Islam tidak menolak hiburan secara mutlak. Namun, yang penting ialah bentuk hiburan itu, sama ada ia membina jiwa atau sebaliknya melalaikan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan.

Sesi taklimat tersebut turut disertai oleh Mufti Kerajaan Negeri, Prof Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Seni Budaya Negeri, Abu Bakar Hamzah.

Juga Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Yayasan Islam Perlis (YIPs), Ustaz Norhaamizi Mohd Yaacob serta ketua-ketua agensi berkaitan.

Susulan daripada sesi itu, satu pasukan khas diwujudkan bagi menyemak dan memantau acara hiburan yang dianjurkan di seluruh negeri.

Antara usaha yang sedang dirangka ialah penyediaan koleksi lagu-lagu bersesuaian sebagai panduan kepada penganjur serta penggiat seni, selain memastikan persembahan berjalan dengan lebih teratur dan beretika.

Menurut Ustaz Azmir, pendekatan ini adalah lanjutan kepada ketetapan Majlis Fatwa Negeri Perlis sejak 2016 yang telah menggariskan bahawa persembahan hiburan pada asasnya adalah harus.

Iaitu jelasnya, selagi tidak melibatkan unsur yang bercanggah dengan syariat atau mendorong kelakuan melampau dam merosakkan akhlak.

Butiran Garis Panduan Hiburan Patuh Syariah tersebut bertujuan menyelaras aktiviti hiburan agar mematuhi syarak dan menghormati sensitiviti umat Islam.

Pelaksanaan dilakukam melalui sesi taklimat dan penerangan kepada pihak penganjur dan agensi berkaitan dengan bidang skop meliputi konsert, persembahan nyanyian, lakonan, tarian dan aktiviti seumpamanya.

Ia diharap menjadikan Perlis sebagai contoh negeri yang mampu mengimbangkan hiburan dan nilai murni di mana kerajaan negeri percaya pendekatan ini akan menjadikan hiburan sebagai medium pembangunan jiwa dan bukan sebaliknya.

Ia juga seiring dengan aspirasi menjadikan Perlis negeri contoh dalam pembangunan insan yang harmoni antara nilai spiritual dan sosial.

“Semoga Allah mempermudahkan segala urusan yang direncanakan.” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 12/7/2025

- Advertisement -