
BANGI: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai sebuah Gerakan Islam lebih tujuh dekad mempunyai sistem tarbiah dan perkaderan yang semakin tersusun dan holistik, termasuk untuk segmen anak muda, kata Datuk Ustaz Idris Ahmad.
Pengerusi Lajnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Pusat itu menjelaskan, ia merangkumi aktiviti utama seperti usrah, tamrin, daurah dan mukhayyam yang kekal menjadi asas kepada pembentukan kader sebagai usaha ‘tajnid’ ahli.
“Sejarah juga telah membuktikan kemunculan institusi-institusi pondok semenjak sebelum merdeka lagi telah memainkan peranan penting, bahkan menjadi aset utama melahirkan ‘jundullah’ buat PAS.
“Kemudian dengan bertumbuhnya sekolah-sekolah agama dan maahad-maahad tahfiz ibarat cendawan di musim hujan sekitar 70-an dan 80-an telah menyemarakkan lagi agenda perkaderan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja “Memelihara Keaslian dan Mentajdid Pendekatan Tarbiah dan Perkaderan PAS untuk Gen Z”, di sini hari ini.
Namun, menurut Naib Presiden PAS itu, sistem dan pendekatan itu memerlukan ‘tajdid’ untuk menembusi sasaran walaupun dalam lingkungan yang sedia menerima kepada idea Islamis dan fikrah Islam.
Jelasnya, pendekatan dakwah, tarbiah dah perkaderan PAS terhadap Gen Z perlu diteliti dengan cermat agar kekal relevan dan efektif serta dekat dengan realiti dan naluri mereka.
“Mereka sangat mahir teknologi dan banyak bergantung kepada internet serta media sosial. Kesannya, generasi ini cenderung berfikir kritis, inginkan keaslian dan sensitif terhadap isu keadilan sosial.
“Mereka lebih gemar membuat keputusan sendiri dan tidak suka dikongkong, tidak suka dibanding-banding dengan generasi terdahulu dan sangat menghargai nilai kebebasan dan identiti diri.
“Mereka sangat terdedah kepada pelbagai ideologi, aliran pemikiran, gaya hidup dan tekanan rakan sebaya dalam dunia maya secara global,” ujar Ahli Parlimen Bagan Serai itu.
Justeru, beberapa cadangan dan tindakan dikemukakan beliau bagi mengatasi masalah berkenaan, antaranya memperkasakan penggunaan media sosial dan teknologi bagi mendekati golongan tersebut.
“Dakwah melalui _TikTok, Instagram Reels, YouTube Shorts_ untuk menyampaikan mesej dan perjuangan Islam. Generasi ini lebih selesa menonton dan mendengar berbanding membaca.
“Perbanyakkan ‘influencer’ dakwah yang ‘authentic’ dan ‘relatable’, bukan ‘jadian’. Topik dakwah sangat luas sebagaimana Islam. Gen Z sangat suka mesej yang jujur, ‘genuine’ dan tidak terlalu menjual. – HARAKAHDAILY 12/7/2025











