Kukuh hubungan rumpun, kunjungi Melayu Sri Lanka

Khalil (dua dari kanan) bersama komuniti Melayu Sri Lanka
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu bakal menganjurkan Terengganu International Summit yang dijadual berlangsung pada November ini, dengan tema Penyatuan Ummah Rumpun Melayu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penganjuran sidang kemuncak itu bertujuan mengukuhkan ikatan sejarah dan budaya rumpun Melayu yang bertebaran di seluruh dunia.

“Melalui tema Penyatuan Ummah Rumpun Melayu, kita mahu memperkukuhkan hubungan serantau dan sejarah rumpun kita,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok berkata demikian selepas mengetuai lawatan kerja kerajaan negeri ke Sri Lanka baru-baru ini.

Menurut Khalil, dalam lawatan tersebut, rombongan berpeluang bertemu dengan komuniti Melayu Sri Lanka yang telah menetap di negara itu sejak lebih 100 tahun lalu.

“Komuniti Melayu di Sri Lanka pada asalnya dibawa masuk oleh Empayar British dan berkhidmat dalam pelbagai sektor termasuk ketenteraan dan kepolisan.

“Hari ini, dianggarkan terdapat sekitar 50,000 orang Melayu di Sri Lanka, terus mempertahankan identiti, warisan dan agama mereka meskipun berada jauh dari tanah asal,” katanya.

Beliau berharap, pertemuan bersama komuniti Melayu Sri Lanka bukan hanya sekadar mengeratkan silaturahim, malah memperkukuh hubungan antara rumpun Melayu.

“Moga ikatan ini akan menyemarakkan semula hubungan rumpun Melayu dan memperkukuh Penyatuan Ummah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sidang kemuncak antarabangsa yang bakal berlangsung itu dijangka menghimpunkan pelbagai tokoh, pemimpin serta wakil komuniti Melayu dari dalam dan luar negara.

Sidang itu sekali gus bakal menjadikan Terengganu sebagai pusat pertemuan penting bagi rumpun Melayu. – HARAKAHDAILY 12/7/2025

- Advertisement -