
AYER KEROH: Kerajaan Persekutuan sewajarnya merealisasikan semua memorandum persefahaman (MoU) berkaitan potensi pelaburan asing (FDI) menjadi perjanjian (MoA) sebagai suntikan paling praktikal kepada ekonomi negara.
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Negeri Melaka, Dr Shawn Loh Sheng Nian berkata, kerajaan juga perlu memanfaatkan penggunaan dana dan aset negara secara bijak dalam menguruskan ekonomi negara dan rakyat.
Malangnya, beliau melihat kerajaan mengambil pendekatan yang mengecewakan menerusi pelaksanaan dasar-dasar ekonomi bersikap menekan dan memeras ugut serta mengabaikan kesusahan sedang menimpa rakyat.
Dr Shawn meluahkan rasa kesal terhadap penggunaan ucapan bersifat manipulasi psikologi dan penderaan emosi oleh pemimpin kerajaan yang hanya menyemarakkan lagi ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat atas beban ekonomi ketika ini.
Beliau memberikan contoh kata-kata pemimpin negara yang menyifatkan kesukaran dihadapi rakyat kononnya kebaikan untuk mereka sendiri, sedangkan berlaku peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan tarif elektrik naik.
“Dalam menghadapi situasi sukar kenaikan harga, pelaksanaan dasar cukai SST harus digantung. Rakyat akan mempunyai ruang bernafas dalam program bantuan yang disasarkan.
“Kerajaan perlu menyatukan perbendaharaan negara untuk menyelenggara infrastruktur seperti penyelenggaraan jalan dan longkang.
“(Juga) menambah kakitangan perubatan, menampung kekurangan tenaga pengajar, dan lain-lain. Dan membuat laporan cukai telus supaya rakyat benar-benar memahami hasil dasar tersebut,” ujarnya.
Beliau menarik perhatian kepada penutupan semakin banyak syarikat tempatan dan berjenama, sedangkan sepatutnya sejak kawalan pergerakan ditarik balik, pertumbuhan pasaran dirasakan agak perlahan daripada sepatutnya.
“Kami juga menyeru orang ramai untuk belajar menjadi pengguna secara bijak, terutamanya dengan menyokong lebih banyak produk tempatan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/7/2025











