PKWR DUN Kayang, HTF anjur program derma darah

- Advertisement -

KANGAR: Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kayang dengan kerjasama Unit Transfusi Hospital Tuanku Fauziah (HTF) telah menganjurkan program Jom Derma Darah sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Perlis 2025.

- Advertisement -

Program yang membawa tema “Derma Darah,Semai Harapan: Bersama Selamatkan Nyawa” itu bermula seawal jam 8 pagi di Unit Tabung Darah HTF dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, kelmarin.

Sebanyak 71 beg darah berjaya dikumpulkan sepanjang program berlangsung, yang akan digunakan untuk keperluan perubatan di HTF termasuk bagi pesakit kritikal, pembedahan, kemalangan serta ibu bersalin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, Ustaz Asrul Aimran Abdul Jalil berkata, program sebegini amat penting memandangkan jumlah penderma darah semakin berkurangan, sedangkan keperluan terhadap darah masih tinggi.

“Semakin hari bilangan penderma darah semakin berkurang, namun bilangan pesakit masih lagi sama. Kemalangan, pembedahan, ibu bersalin dan orang sakit masih memerlukan stok darah yang banyak,” katanya.

Program inisiatif Asrul Aimran yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri itu, turut disertai oleh penderma dari luar negeri ini termasuk seorang individu dari Alor Setar yang memuji usaha penganjur.

Program sehari itu berakhir pada jam 5 petang dengan kehadiran yang sangat memberangsangkan dan Ustaz Asrul turut menyatakan komitmen untuk menganjurkan lebih banyak program seumpamanya pada masa akan datang.

“Setitis darah kita mungkin menjadi penyelamat nyawa buat insan yang sedang bertarung di ambang kehidupan. Ayuh kita jadikan amalan menderma darah ini sebagai satu budaya mulia. Bukti kasih sayang kita sesama insan.” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 12/7/2025

- Advertisement -