
KOTA KINABALU: Pemuda PAS Sabah menyambut baik kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2025 yang memperuntukkan RM1.186 bilion untuk pembangunan negeri.
Namun, ketuanya, Hendri Hamsah pada masa yang sama menegaskan bahawa isu pemilikan rumah untuk golongan belia di negeri ini masih jauh daripada diselesaikan.
Sehubungan itu, beliau meluahkan kebimbangan terhadap ketidakseimbangan antara harga rumah yang semakin meningkat dengan kemampuan kewangan belia, terutamanya yang bekerja dalam sektor gig atau ekonomi tidak formal.
“Harga rumah di Sabah, yang kini mencecah RM400,000 hingga RM500,000, jelas dilihat tidak seiring dengan pendapatan majoriti anak muda di negeri ini, yang ramai antaranya tidak mempunyai gaji tetap atau status pekerjaan formal,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, masalah utama yang dihadapi oleh golongan muda adalah ketiadaan akses terhadap pinjaman rumah dan kesukaran untuk menyimpan wang deposit rumah.
Tambahnya, mereka yang bekerja dalam sektor gig dan ekonomi tidak formal, yang sering kali tiada dokumen gaji tetap, dinafikan peluang untuk memiliki rumah.
Akibatnya, ujar beliau ramai belia terperangkap dalam kitaran sewa sepanjang hayat tanpa harapan untuk memiliki kediaman yang stabil.
“Mereka bukan mengimpikan rumah mewah, tetapi hanya mahukan rumah yang mampu dimiliki bagi membolehkan mereka membina kehidupan yang stabil dan bermaruah,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Pemuda PAS Sabah turut mengiktiraf usaha kerajaan negeri dalam mengatasi masalah itu, melalui program seperti Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menyediakan hampir 9,000 unit rumah untuk golongan B40, serta Rumah Mesra Rakyat (RMR) oleh SPNB dengan subsidi dan bayaran rendah.
Selain itu, beliau juga berharap agar ada kerjasama dengan pemaju melalui pemberian tanah negeri untuk pembangunan rumah mampu milik juga dilihat sebagai langkah positif.
Namun begitu, katanya Pemuda PAS berpendapat bahawa usaha itu masih belum mencukupi untuk menangani masalah pemilikan rumah dalam kalangan anak muda, terutamanya mereka yang tidak memiliki tanah dan bekerja dalam sektor tidak formal.
Sebagai solusi, ujarnya Pemuda PAS negeri mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan negeri sebagaimana berikut:
i) Harga siling rumah belia – mengurangkan harga siling rumah belia kepada RM300,000 bagi 30 peratus unit dalam projek kerajaan.
ii) Skim sewa beli – memperkenalkan skim sewa-beli dengan kadar sewa RM500 hingga RM700 sebulan selama 5 tahun sebelum diberikan hak milik rumah.
iii) Dana jaminan pinjaman – menubuhkan dana jaminan pinjaman dan bantuan deposit rumah pertama khusus untuk belia yang bekerja dalam sektor tidak formal.
iv) Penggunaan Dana RUU Tambahan 2025 – Memanfaatkan sebahagian daripada peruntukan dalam RUU Perbekalan Tambahan 2025 untuk membiayai pelaksanaan skim perumahan belia.
v) Libat urus dengan NGO belia – mengadakan libat urus tetap dengan NGO belia dan penggiat komuniti bagi memastikan dasar perumahan dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar golongan muda.
Katanya, Pemuda PAS Sabah menegaskan bahawa inisiatif itu bukan hanya untuk mempermudah akses pemilikan rumah bagi anak muda, tetapi juga untuk memastikan masa depan mereka lebih terjamin dengan kehidupan yang stabil.
“Jangan biarkan anak muda Sabah terus terperangkap dalam masalah sewa sepanjang hayat. Mereka berhak memiliki rumah dan membina masa depan yang lebih baik,” tegasnya.
Beliau berharap agar kerajaan negeri dapat memberi perhatian serius terhadap masalah tersebut dan bertindak segera demi masa depan anak muda Sabah. – HARAKAHDAILY 12/7/2025











