Federalisme bukan sekadar bahagi kuasa atas kertas

Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Prinsip federalisme yang diamalkan dalam pentadbiran negara diibaratkan seperti sebuah pohon besar yang memerlukan akar, batang dan cabang saling menyokong antara satu sama lain.

- Advertisement -

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, akar yang menjadi asas kekuatan adalah rakyat, manakala batang pula melambangkan Kerajaan Persekutuan yang berperanan menyalurkan sokongan, kestabilan dan dasar bersama.

“Tanpa akar yang terpelihara, pohon tidak akan wujud, tanpa batang yang sihat cabang tidak dapat menyokong kehidupan dan apabila cabang dipatahkan, buah keberhasilan tidak terhasil.

“Oleh itu, kita bertanggungjawab menjaga setiap elemen akar, batang dan cabang dengan kerjasama ikhlas, tanpa ragu-ragu, agar bunga yang harum dan buah yang ranum dapat dirasai bersama.
 
“Itulah gambaran federalisme saling bergantung, saling melengkapi. Ia bukan sekadar pembahagian kuasa atas kertas, tetapi satu ikatan amanah bersama yang menuntut saling hormat, persefahaman dan kerjasama ikhlas dan jujur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program MADANI Rakyat (PMR) Peringkat Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Menurutnya, penganjuran program seumpama itu memberi peluang kepada pemimpin Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk turun padang, mendengar masalah rakyat serta merencana penyelesaian yang lebih realistik dan menyeluruh.

“Ia juga menjadi bukti bahawa pentadbiran yang baik tidak cukup hanya dengan membuat dasar dari jauh, namun perlu mendekatkan diri kepada rakyat di semua peringkat agar perencanaan yang dibina seiring dengan keperluan segera dan semasa rakyat dan negeri,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam kerangka federalisme yang menguntungkan rakyat dan negeri.

Ahmad Samsuri turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan rombongan yang sudi meluangkan masa bersama rakyat Terengganu.

“Marilah kita terus berganding bahu, mendukung semangat persekutuan dan berusaha membina negeri dan negara yang lebih sejahtera, makmur dan bersatu padu,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2025

- Advertisement -