‘Rundingan Politik’ dalam kerjasama negeri-Persekutuan

Untuk mengukuhkan amalan federalisme dan semangat bersekutu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: ‘Rundingan Politik’ perlu menjadi model dan konsep kerjasama negeri dan Persekutuan dalam usaha pengukuhan sistem federalisme yang adil dan saksama di Malaysia, demikian kata Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok).

“Ia pastinya berbeza dengan dua paradigma utama yang menjadi amalan federalisme di Malaysia selama ini, iaitu ‘Konfrontasi Politik’ dan ‘Kompromi Politik’. Secara prinsipnya, jika semakin kuat semangat untuk bersekutu, makin banyaklah perkara yang dapat disepakati.

“Namun sebaliknya, jika semakin tebal semangat kepartian dan kenegerian, makin sedikitlah perkara yang akan disepakati. Prinsip ini, adalah selaras dengan cogan kata yang tersemat megah di Jata Persekutuan, ‘Bersekutu Bertambah Mutu’,” ujarnya.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS mengemukakan demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada Persidangan Dewan Rakyat Ke-15 di Parlimen, di sini semalam.

Jelas Syahir, sekiranya model dan konsep tersebut dilaksanakan, tentu sekali permintaan atau tuntutan daripada negeri kepada Persekutuan tidak wajar dilihat sebagai ancaman kepada sistem federalisme di negara ini.

“Kerana pada hakikatnya, ruang untuk berunding dan berbincang antara negeri dan Persekutuan adalah suatu proses yang boleh mematangkan sistem federalisme di negara kita.

“Dalam hal ini, ‘Rundingan Politik’ yang inklusif mampu menghasilkan keputusan lebih adil dan membawa manfaat kepada rakyat, tanpa perlu bergantung kepada pengaruh politik dominan.

“Di mana asas rundingan adalah keadilan dan kepentingan rakyat, bukan kepentingan politik semata-mata,” hujah beliau yang menyenaraikan beberapa permintaan, jikapun bukan dianggap tuntutan oleh beberapa kerajaan negeri mutakhir ini.

Pertama kemukanya, perjuangan Kelantan dan Terengganu menuntut hak terhadap pembayaran royalti petroleum, mengikut termaktub di dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian telah dipersetujui, yakni secara terus dan telus.

Kedua katanya, keazaman Sabah dan Sarawak dalam menuntut pelaksanaan penuh hak-hak termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi instrumen terpenting kepada penubuhan Malaysia, secara tidak lebih dan tidak kurang.

Ketiga pula menurutnya, permintaan negeri-negeri maju seperti Pulau Pinang dan Johor terhadap pemulangan hasil cukai dipungut, antara 20 ke 30 peratus, bagi menampung keperluan pembangunan negeri yang semakin pesat.

“Saya tidak berhasrat untuk menilai merit setiap permintaan, dan layanan yang diberikan terhadap tuntutan-tuntutan ini. Terpulang kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk membuat penilaiannya,” ujar beliau.

Terdahulu dalam menjelaskan hubungan antara negeri dan Persekutuan itu, Syahir memetik tulisan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dalam buku terulung tokoh itu, ‘Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia’

“Oleh kerana dalam tiap-tiap Persekutuan, di samping Kerajaan Pusat ada pula beberapa buah kerajaan negeri yang menjadi anggota Persekutuan itu. Maka amatlah mustahak dibuat peruntukan bagi menentukan perhubungan antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri.

“Peruntukan ini penting untuk mengelakkan sebarang pertelingkahan yang mungkin berlaku antara negeri dan Persekutuan. Adapun tatacara perhubungan itu, terpulanglah kepada hakikat Perlembagaan Persekutuan itu,” petik beliau.

Syahir malah turut menitipkan titahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenaan pengukuhan semangat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, amat wajar diberikan perhatian.

“Konsep Persekutuan yang menjadi asas penubuhan Malaysia dan teras pentadbiran negara hendaklah dihormati semua pihak. Malaysia akan terus kukuh atas semangat kerjasama yang erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Setiap tindakan dan keputusan yang berkaitan, mestilah dibincangkan secara sepakat, demi masa depan rakyat dan negara,” ujarnya membacakan semula lafaz titah Baginda pada Isnin lalu itu. – HARAKAHDAILY 6/2/2025

- Advertisement -
- Advertisement -