Tarif elektrik naik bakal rencatkan sektor pelancongan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan tarif elektrik yang bakal dilaksanakan kerajaan berisiko merencatkan pertumbuhan industri pelancongan negara, kata Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar).

- Advertisement -

Menurutnya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang diakses pada 4 Februari 2025, pendapatan isi rumah di Perlis sekitar RM5,476, manakala perbelanjaan isi rumah RM3,468.

“Maknanya secara purata lebihan belanja isi rumah hanya sekitar RM2,000 iaitu sekitar 36.5 peratus.

“Sementelahan dasar kerajaan yang akan mensasarkan semula subsidi serta kenaikan tarif elektrik dan pemotongan subsidi RON95 pastinya akan merencatkan sektor-sektor lain, contohnya pelancongan.

“Biasanya perbelanjaan pelancongan dari rakyat pertengahan berpunca daripada lebihan pendapatan isi rumah,” katanya ketika sesi Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Ujar Rushdan lagi, kerajaan perlu mengukuhkan sistem subsidi bersasar dengan mekanisme yang lebih efisien dan tepat bagi memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat.

“Pemerkasaan peniaga kecil dan sederhana serta peningkatan kemahiran Pendidikam dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk golongan sasar seperti B40 dan M40 perlu berjalan seiring.

“Konsep permintaan dan penawaran seimbang perlu dipastikan dengan mewujudkan pusat-pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang baharu di pinggir-pinggir bandar bagi menyemarakkan pertumbuhan ekonomi.

“IKS dan TVET berpisah tiada. Program Hard TVET dan Soft TVET dengan bantuan IKS perlu disinergikan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 5/2/2025

- Advertisement -