
KUALA LUMPUR: Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang memiliki sumber unsur nadir bumi (REE) amat penting bagi memastikan pembangunan sektor ini memberikan manfaat yang adil kepada semua pihak.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan (JKPK ASSP), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, negeri SG4 seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis mempunyai potensi besar dalam industri itu.
Jelas beliau, menurut laporan Jabatan Mineral dan Geosains, Terengganu sahaja memiliki hampir separuh daripada deposit REE di Malaysia dengan nilai mentah dianggarkan sekitar RM810 bilion.
“Potensi ini memberi peluang besar kepada negeri-negeri SG4 untuk memainkan peranan utama dalam pembangunan industri masa hadapan ini.
“Saya menekankan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri pemilik sumber bagi memastikan pembangunan sektor ini tidak hanya memberi manfaat kepada negara secara keseluruhan.
“Tetapi juga kepada negeri-negeri tersebut dengan keuntungan yang adil dan setimpal,” katanya selepas Sesi Libat Urus Hala Tuju Pembangunan Industri REE di Malaysia, di Dewan Banquet, Parlimen, di sini semalam.
Turut bersama dalam sesi ini sebagai ahli panel ialah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Antarabangsa yang juga Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.
Mengulas lanjut kata beliau, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad turut menyatakan bahawa pendekatan baharu diperlukan dalam pengurusan sumber tersebut, berbeza daripada model terdahulu seperti Akta Pembangunan Petroleum 1974.
“Kerajaan harus memastikan setiap langkah yang diambil memanfaatkan negeri-negeri yang berpotensi menjadi pemacu utama pembangunan industri REE di peringkat global.
“Menerusi perancangan dan pelaksanaan yang teliti, saya percaya Malaysia mampu muncul sebagai kuasa besar dalam industri REE, sekali gus memastikan kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam sekitar terjamin,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2025




















