
JERLUN: Isu kenaikan harga padi terus menjadi agenda para pesawah agar mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Tuntutan harga lantai padi iaitu RM1,800 satu tan metrik dikatakan lebih relevan untuk keperluan usaha golongan itu berbanding RM1,300 setiap tan pada ketika ini.
Apatah lagi dalam keadaan harga barangan melambung tinggi, sementara dalam masa yang sama pesawah juga terpaksa menanggung kos sewaan jentera dan lain-lain berkaitan.
Para pesawah juga tidak mahu nasib mereka terus diperkotak-katikkan oleh pengilang padi yang dilihat sering bermain harga.
Harga ditentukan oleh pengilang bukanlah harga lantai, sebaliknya hanya mengikut keperluan kuantiti padi yang pengilang inginkan pada satu-satu masa.
Himpunan aman di tapak Kompleks PAS Kawasan Jerlun, Lana Bulu, kelmarin juga mendesak perkara yang sama agar harga lantai padi dinaikkan ke RM1,800 bagi setiap tan.
Selain tuntutan harga padi, perkara lain juga dibangkitkan adalah berkenaan padi benih dibekalkan oleh kilang swasta yang didapati kurang berkualiti.
Rata-ratanya mengeluh dan menanggung kos lebih tinggi apabila terpaksa menggunakan tiga beg padi benih bagi setiap relung, berbanding satu beg sahaja sebelum ini.
Keadaan seperti ini menunjukkan padi benih yang dibekalkan sekarang tidak berkualiti dan dalam masa sama terpaksa menanggung tambahan hampir RM70 bagi setiap relung untuk padi benih sahaja.
Itu tidak termasuk kos racun dan lain-lain apabila serangan penyakit seperti Bena Perang atau Padi Bom yang kerap kali dihadapi oleh para pesawah
Harga padi RM1,800 yang dituntut itu, walaupun tidak setinggi mana jika dibandingkan dengan kos ditanggung, namun ia dijangka mampu menampung kos operasi petani.
Berbanding dengan harga ditawarkan sekarang iaitu RM1,300, pesawah terpaksa menanggung hutang hampir RM600 bagi satu relung, terutama kepada mereka yang mengerjakan sawah antara lima dan enam relung sahaja.
Dalam pada itu, himpunan pada petang itu mengharapkan kerajaan menyahut titah Yang di-Pertuan Agong, agar golongan penternak, peladang, petani, pekebun kecil dan nelayan diberi pembelaan bagi memperkasakan sektor pertanian komuniti dan rantaian makanan negara.
Sementara masing-masing turut melahirkan rasa tidak puas hati dan terkilan dengan sikap Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Dato’ Mahfuz Omar, yang sering memperlekeh golongan pesawah.
Walhal, golongan petani merasakan harga padi yang ditetapkan kerajaan sebelum ini iaitu RM1,300 satu tan, ibarat menindas mereka, sedangkan kos-kos yang ditanggung agak membeban.
Turut hadir dan memberi ucapan, antaranya Pengerusi Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Kawasan Jerlun, Syukri Shamsudin dan Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Che Ani Md Zain serta wakil pesawah, Aswadil Khairi Che Omar.
Himpunan aman tuntutan harga lantai padi itu disertai hampir 200 pesawah tempatan. – HARAKAHDAILY 6/2/2025




















