
KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyatakan rasa terkejut dan terkilan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mendakwa dipanggil oleh PAC kerana beliau adalah menteri daripada DAP.
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menegaskan bahawa PAC adalah sebuah Jawatankuasa Pilihan yang ditubuhkan oleh Majlis Dewan Rakyat berlandaskan punca kuasa dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Jelasnya, PAC bertindak sebagai sebuah jawatankuasa bipartisan di mana semua 14 ahlinya mengetepikan pendirian politik masing-masing dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.
“Saya berpandangan bahawa kenyataan YB Anthony Loke itu tidak tepat sekali memandangkan PAC telah memanggil ramai Menteri serta mantan Menteri dalam setiap prosiding yang diadakan.
“Ia langsung tiada kena mengena dengan parti mereka. Semua Menteri yang hadir di hadapan PAC adalah atas tugas dan tanggungjawab mereka,” katanya dalam kenyataan media.
Mas Ermieyati turut mempersoalkan dakwaan Anthony Loke dengan merujuk kepada Pengerusi PAC sebelum ini, yang juga dari parti DAP, turut memanggil Menteri Kabinet disebabkan parti mereka sama ada Umno, Bersatu atau MCA.
“Pada pandangan saya, semua Pengerusi PAC bertindak profesional dalam memastikan kredibiliti dan profesionalisme jawatankuasa ini sentiasa terpelihara dan dihormati sejak penubuhannya pada tahun 1959,” tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa prosiding PAC adalah berkenaan Pengurusan Lapangan Terbang Awam, di mana Kementerian Pengangkutan adalah pemegang taruh utama dalam pengurusan lapangan terbang awam negara.
“Skop prosiding tidak terhad semata-mata kepada pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh konsortium GDA, tetapi turut merangkumi isu kenaikan harga tiket penerbangan ke Wilayah Sarawak dan Wilayah Sabah, serta isu kelewatan pemasangan aerotrain di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA),” jelasnya.
Mas Ermieyati turut mempersoalkan sama ada Anthony Loke tidak mahu memberikan maklum balas atau pandangan sebagai Menteri Pengangkutan dalam prosiding PAC, yang bertujuan menambah baik pengurusan lapangan terbang awam negara.
“Sekiranya (beliau) enggan terpulanglah kepada beliau dan sejarah akan merekodkan bahawa seorang Menteri Kabinet enggan hadir di hadapan PAC untuk memberikan pandangan dan penjelasan kepada PAC sedangkan ia adalah demi kebaikan rakyat dan negara,” tambahnya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa PAC ingin memastikan Penyata berhubung isu itu adalah sebuah laporan yang komprehensif, tidak berat sebelah, dan dokumen yang boleh dijadikan rujukan oleh semua pihak demi kepentingan rakyat dan negara.
Mas Ermieyati juga menegaskan bahawa selaku Pengerusi PAC, beliau sentiasa berpegang kepada keputusan konsensus oleh semua 13 ahli PAC dalam membuat keputusan untuk memulakan prosiding atau memanggil saksi bagi menghadiri setiap prosiding yang dijalankan. – HARAKAHDAILY 6/2/2025











