
Pemuda PAS Malaysia memandang serius akan laporan dan maklum balas daripada para doktor kerajaan berhubung pelaksanaan model waktu bekerja baharu (WBB). Meskipun objektif awal pelaksanaan WBB adalah untuk mengurangkan beban kerja dan meningkatkan keseimbangan hidup serta kerja (work-life balance) dalam kalangan pegawai perubatan, namun pelbagai isu yang timbul menunjukkan bahawa polisi ini memerlukan penelitian semula secara mendalam.
Sebagai petugas barisan hadapan yang berkhidmat tanpa henti untuk rakyat dan negara, kebajikan serta keadilan untuk para doktor kerajaan mesti menjadi keutamaan. Kerajaan tidak boleh sekadar mematuhi pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa memahami realiti tugas para doktor yang jauh berbeza dengan sektor awam lain.
Justeru, Pemuda PAS menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan segera terhadap perkara-perkara berikut:
- Libat urus lebih komprensif dengan para doktor
Kerajaan perlu memperbaiki kaedah keterlibatan dengan doktor-doktor yang terlibat secara langsung. Pemuda PAS menerima maklum bahawa sesi Townhall yang diadakan baru-baru ini tidak mencapai objektif kerana tidak menyediakan ruang dialog yang mencukupi dan soalan-soalan kritikal tidak diberi perhatian sewajarnya. Proses ini harus diulang dengan penyertaan lebih meluas dengan melibatkan pegawai perubatan junior (MO) dan pakar-pakar. - Tindakan terhadap isu kadar elaun
Isu elaun ‘oncall’ yang tidak sekata dan penetapan kadar yang tidak adil antara unit yang mengamalkan dan yang tidak mengamalkan WBB, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Selain itu, kadar bayaran RM9/jam jelas tidak setimpal dengan intensiti dan risiko kerja doktor ibarat satu penghinaan kepada pengorbanan mereka. Elaun ‘oncall’ mesti dinaikkan segera tanpa perlu menunggu berlakunya perubahan model kerja. - Menangani kekurangan tenaga kerja
WBB yang diperkenalkan dilihat semakin menambah bebanan kepada doktor yang bertugas akibat kekurangan tenaga kerja. Isu ini tidak akan selesai hanya dengan mengubah sistem waktu bekerja tetapi memerlukan tindakan segera dalam penambahan tenaga kerja yang mencukupi. - Fleksibikliti yang realistik
Pendekatan WBB yang terlalu bergantung pada pekeliling JPA mesti dikaji semula. Skim perkhidmatan kesihatan tidak boleh disamakan dengan sektor lain. Oleh itu, Pemuda PAS menyokong cadangan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang bebas untuk memastikan dasar dan polisi sektor kesihatan lebih bersesuaian dengan realiti kerja para doktor. - Keadilan untuk semua doktor
Sebarang perubahan polisi kerja mesti memastikan kesaksamaan untuk semua doktor bagi memastikan tiada jurang besar antara mereka yang mendapat manfaat daripada WBB dan mereka yang kekal dalam sistem amalan semasa.
Dalam pada itu, Pemuda PAS juga ingin mengingatkan kerajaan bahawa kebajikan doktor bukan sekadar isu teknikal tetapi juga melibatkan aspek moral dan etika. Realitinya, mereka telah bertahun-tahun menghadapi cabaran luar biasa sebagai barisan hadapan negara, terutamanya semasa pandemik COVID-19. Oleh itu, mereka layak diberi perhatian yang sewajarnya tanpa sebarang kompromi.
Akhir sekali, Pemuda PAS menegaskan bahawa kebajikan penjawat awam, khususnya doktor, adalah tanggungjawab kerajaan yang tidak boleh diabaikan. Pemuda PAS menggesa Menteri Kesihatan dan Perdana Menteri untuk segera mengambil tindakan proaktif dalam isu ini demi kesejahteraan dan masa depan sektor kesihatan negara yang lebih baik.
Yang Berhormat Afnan Hamimi Taib Azamudden
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Alor Setar




















