
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meragui keberkesanan perjanjian gencatan senjata di Gaza, ekoran Israel sebelum ini melanggar perjanjian Hizbullah.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap gencatan senjata bermula esok yang dipersetujui Israel dan HAMAS sambil menyifatkannya belum mampu menjamin masa depan Palestin.
“Saya ragu-ragu dengan perjanjian gencatan senjata Gaza. Mungkin saya dianggap pesimis, tetapi adakah sesiapa percaya negara yang berulang kali melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)?
“(Malah Israel berulangkali) mengabaikan dan tidak menghormati pandangan dunia akan menunaikan janji,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut negarawan itu lagi, Israel sangat dikenali tidak menepati janji serta bangsa yang sangat suka berperang.
“Ada sesiapa percaya Israel, yang telah melanggar perjanjian gencatan senjata dengan Hizbullah sebelum ini, akan memilih mematuhinya kali ini?
“Israel adalah penyangak, bangsa yang suka berperang. Kecenderungannya untuk bertelagah tidak akan membuatkannya menghormati sebarang perjanjian atau undang-undang,” katanya.
Dalam masa sama, Dr Mahathir menzahirkan kebimbangan kegembiraan yang ditunjukkan oleh rakyat Gaza terhadap perjanjian ini adalah terlalu awal.
“Maafkan saya jika bersikap pesimis. Tetapi kegembiraan rakyat Gaza adalah pramatang. Saya berharap saya salah,” katanya.
Khamis lalu, Israel dan HAMAS bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula esok untuk menghentikan perang selama 15 bulan yang dahsyat di Gaza.
Perkara ini diumumkan pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Sabtu, sehari sebelum perjanjian tersebut dijadualkan bermula pada Ahad. – HARAKAHDAILY 18/1/2025











