PERKASA puji tarbiyah PAS, tegur parti Melayu lain

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) memuji tarbiyah yang diterapkan dalam PAS terutamanya dalam kalangan anak muda dan muslimah parti tersebut.

Menurut Syed Hasan Syed Ali, PAS berjaya mendidik dan membentuk ahli-ahlinya agar berpegang teguh kepada nilai-nilai agama dan moral.

“Saya pernah melihat sendiri ketika menghadiri satu program besar di PERKASA, di mana anak-anak muda PAS, khususnya wanita, menunjukkan penghayatan yang mendalam terhadap agama.

“Mereka bukan sahaja membawa telefon bimbit, tetapi turut mengalunkan lagu-lagu keagamaan seperti mengaji, berzanji, dan qasidah semasa menjalankan tugas mereka,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam Bicara HD bertajuk ‘Adakah NGO Melayu Masih Berbisa?!’ kelmarin.

Syed Hasan memuji pendekatan PAS yang berjaya mengintegrasikan nilai-nilai agama dalam kehidupan seharian ahli parti mereka, terutamanya dalam kalangan anak muda.

Beliau berharap, ahli-ahli PERKASA dapat mencontohi kesungguhan itu dalam mendidik dan membentuk peribadi yang berpegang teguh kepada agama.

Namun, dalam pada itu, beliau juga meluahkan rasa kecewa terhadap parti-parti Melayu lain, yang menurutnya tidak memberi perhatian sama terhadap pembentukan karakter dan nilai agama dalam kalangan anak muda.

Syed Hasan turut menyentuh mengenai pengaruh pemikiran liberal yang semakin merebak dalam kalangan pemimpin parti-parti Melayu.

- Advertisement -

Juga kritiknya, pemimpin Melayu yang menyokong isu seperti penerimaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana dianggap bertentangan dengan prinsip perjuangan bangsa dan agama.

“Saya kecewa dengan situasi ini. Jika PAS dapat mendidik anak muda mereka dengan baik, mengapa parti Melayu yang lain tidak dapat mencontohi usaha tersebut?

“Kita perlu melihat generasi muda ini sebagai aset yang perlu dibentuk dengan baik, agar mereka tidak terjerumus dalam pemikiran liberal yang boleh merosakkan bangsa dan agama,” tegas Syed Hasan. – HARAKAHDAILY 18/1/2025

- Advertisement -