
KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming mengaku beliau mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Al-Khattab RA dan Umar Abdul Aziz RH dalam pentadbiran disifatkan hanya untuk menarik sokongan Melayu.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, ungkapan itu sama seperti kata-kata peringatan Saidina Ali KW iaitu ‘kalimah yang benar tapi tujuan yang dikehendaki adalah batil’.
“Jika hendak ikut Umar Abdul Aziz, perlu ikut seperti Umar Abdul Aziz. Jangan kata hendak ikut, tapi kelakuan tidak sama dengan ucapan. Seseorang boleh menipu sesetengah orang pada satu masa . Tetapi tidak boleh menipu semua orang pada setiap masa.
“Konon macam Umar Abd Aziz, tetapi banyak tindakan menyinggung perasaan orang Islam sehingga timbul ketidakharmonian,” ulas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.
Menurut Ustaz Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, Khalifah Umar Abd Aziz tidak pernah mengguris perasaan orang bukan-Islam dalam pemerintahannya.
“Lihatlah, terbaharu individu yang sama itu mengungkapkan bahawa orang yang besarkan isu ‘ham’ dalam sandwic menunjukkan siapa sebenarnya bodoh.
“Ini isu penyalahgunaan logo Halal untuk makanan yang haram pada orang Islam. Jika makanan ini untuk orang bukan-Islam lantak awaklah. Sebelum itu, suruh PAS bertaubat dan parti sesat.
“Siapa kamu hendak masuk campur urusan akidah orang Islam? Apa jadi jika ada individu berkata parti DAP kafir harbi?” soal beliau menduga Kor Ming.
Peringat bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu kepada Kor Ming, soal agama Islam pemimpin DAP itu tidak layak campur tangan kerana menggugat keharmonian.
“Macam inikah akhlak Umar Abd Aziz? Jauh langit dan bumi. Tidak perlulah hendak tunggang agama Islam, orang Melayu-Islam boleh menilai kamu siapa,” katanya.
Tambahnya, ramai juga orang bukan-Islam memahami pantang larang agama dan adat resam orang Melayu kerana mereka menghayati kontrak sosial dan tahu bumi yang dipijak, langit yang dijunjung
“Mereka boleh berkawan dengan orang Islam dengan baik. Banyak kisah keadilan Umar Abd Aziz dengan orang bukan-Islam.
“Kisah Umar Abd Aziz ganti pokok anggur orang bukan-Islam yang ditebang oleh pegawainya tanpa sebab, sedangkan ia menjadi sumber pendapatan orang bukan-Islam.
“Bantuan daripada Baitulmal kepada orang tua bukan-Islam yang meminta sedekah kerana tidak mampu bekerja, sedangkan waktu dia kuat dia bayar jizyah (cukai oleh orang bukan-Islam) manakala zakat pula dikenakan kepada orang Islam,” katanya.
Idris menambah, sebelum ini bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dari parti DAP turut menyatakan akan memerintah seperti Umar Abdul Aziz namun hanya menjadi bahan sinis sahaja.
“Ketika itu PAS bersama Pakatan Rakyat turut kagum. Tetapi selepas itu disangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengahari. Kusangka nanas di tengah padang, rupanya pandan yang tumbuh berduri,” sinisnya.
Terdahulu, Kor Ming dalam ucapan sebelum ini berkata, beliau mahu mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Al-Khattab dan Khalifah Umar Abdul Aziz dalam pentadbiran.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga menyatakan kononnya beliau bersemangat kerja keras dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab. – HARAKAHDAILY 18/1/2025











