
SIKAP toleransi yang tinggi dalam kalangan umat Islam dan bangsa Melayu antara penyebab pihak lain dengan sewenangnya ‘pijak kepala’ dan semakin berani menyentuh sensitiviti agama Persekutuan negara ini.
Lepas minta maaf, isu selesai. Lepas itu buat lagi dan keadaan itu akan berulang dalam ‘bulatan’ yang sama.
Permohonan maaf sudah basi dan menjadi kebiasaan kepada segelintir peniaga di negara ini kerana mereka sedar pihak berkuasa tidak tegas dalam perkara ini disebabkan itu isu yang serupa akan terus berulang pada bila-bila masa saja.
Mereka juga sedar dan pasti kes akan ditutup hanya sejurus permohonan maaf dibuat oleh pesalah dengan pelbagai alasan yang ‘dikitar semula’ setiap tahun.
Bagaimana umat Islam dapat memaafkan kesalahan yang sama berulang setiap tahun oleh pelbagai pihak yang tak pernah mahu belajar mengenai rasa tanggungjawab dan prihatin!
Perlu ada ketegasan, jangan terlalu lembik apabila agama Islam diinjak-injak sesuka hati. Takkanlah semua kakitangan buta dan tidak langsung ada prihatin kepada kalimah yang jelas tertera sehingga menunggu ianya diviralkan baru hendak bertindak.
Tidakkah semua itu boleh diandaikan sebagai lakonan biasa untuk menguji kesabaran umat Islam?
Mujur, kita umat Islam tidak dididik seperti kebanyakan mereka, walhal untuk membalas perkara yang sama kepada mereka bukannya susah, apatah lagi kita adalah golongan majoriti!
Ajaran Islam tidak pernah mengajar umatnya berbuat jahat kepada sesiapa pun sebaliknya Islam secara tegas mengajar umatnya untuk memelihara kebaikan dan tetap bersabar dalam melaksanakannya, tetapi jangan sampai kesabaran itu pula hilang!
Memasuki sahaja tahun baharu, negara sudah digemparkan dengan isu kontroversi penyalahgunaan logo halal pada sandwic ‘ham & sandwic’ yang dijual di dua premis jualan runcit 24 jam dalam kampus di Universiti Malaya (UM).
‘Menariknya’ isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam ini dilakukan oleh pihak sama yang sebelum ini pernah mencetuskan kemarahan umat Islam dengan isu penjualan stoking kalimah Allah.
KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Supermart) sebelum ini dalam kenyataan membekukan urusan perniagaan dengan syarikat pengeluar produk ‘ham and cheese sandwich’ sementara dalam tempoh siasatan.
Insiden itu juga adalah kesalahan berulang bagi KK Mart yang disifatkan gagal menunjukkan penghormatan kepada sensitiviti agama Islam selepas isu penjualan stoking kalimah Allah tahun lalu.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Zulhilmi Suboh dengan tegas mengecam tindakan syarikat kedai serbaneka itu yang sekali lagi mencabar sensitiviti umat Islam di negara ini.
“Kami ingin menegaskan dua pelanggaran serius yang dilakukan oleh pihak KK Mart; pertamanya pelanggaran Peraturan SOP Halal Malaysia (iaitu) produk halal tidak dibenarkan menggunakan istilah ‘ham’.
“(Ia) jelas merujuk kepada daging babi dalam konteks umum. Istilah ini bertentangan dengan prinsip syarak dan standard halal yang telah digariskan.
“Keduanya, penyalahgunaan logo Halal (iaitu ) produk tersebut menggunakan logo Halal palsu, sedangkan pihak pengeluar produk bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dikeluarkan JAKIM,” ujarnya.
Pengerusi Pertubuhan Khidmat Gombak, Mohd Iqmal Iberahim menegaskan, isu halal dan haram seharusnya menjadi perkara asas yang tidak boleh dikompromi oleh mana-mana syarikat peruncitan di negara ini.
“Ini bukan kali pertama KK Mart terpalit dengan isu seperti ini. Sebelum ini, pernah timbul isu stoking dengan tulisan kalimah Allah yang mengundang kecaman ramai. Kini, makanan tidak halal pula dilaporkan terlepas masuk ke dalam rangkaian kedainya.
“Bagaimana kelemahan seperti ini boleh berlaku dalam sebuah syarikat yang pernah menerima anugerah pengurusan terbaik?” soalnya.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari turut mempersoalkan sijil halal palsu pada produk berkenaan.
“Mereka yang prihatin dengan sijil halal ini ialah umat Islam yang mahukan makanan yang dimakan benar-benar diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Jika tiada langsung sijil halal, itupun tiada masalah, terpulang kepada pelanggan untuk buat keputusan. Tapi bila guna sijil halal palsu, itu bermaksud menipu atas nama halal,” katanya.
Mac tahun lalu, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.
Tiga hari selepas itu, pengurusan KK Super Mart memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Rata-rata umat Islam mempersoalkan tindakan KK Super Mart yang tidak peka dengan penawaran produk yang menyentuh sensitiviti orang Islam dan meminta pihak berkuasa menyiasat secara terperinci perkara tersebut dan mengambil tindakan tegas agar perkara sama tidak terus berulang lagi.
Terkini, dalam isu sandwic itu, Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dilihat cuba meremehkan kecaman ke atas isu itu dengan menyatakan bahan digunakan adalah Turkey ham dan chicken ham yang bagus untuk dimakan.
Kata Kor Ming, ia juga sama dengan air Root-Beer yang dibuat daripada akar Sassafras yang bukan alkohol dan juga baik untuk diminum.
“To make an issue out of it simply shows who is the real idiot (Menjadikan perkara ini sebagai isu hanya menunjukkan siapa sebenarnya yang bodoh),” katanya menyerlahkan kebiadaban.
Begitu juga kes stoking dahulu, meskipun dilanda kontroversi dan kemarahan umat Islam, pengasas KK Mart, Datuk Seri Chai Kee Kan tetap ‘dijulang’ apabila dibawa menyertai delegasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Uzbekistan.
Chai hadir bagi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membuka cawangan baharu di negara itu sementara di Malaysia, KK Mart akan membuka cawangan khas bagi mempromosikan produk Uzbekistan.
Majlis perasmian itu disaksikan Anwar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Datuk Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing.
Chai malah dengan gembira berkata, kerjasama di antara KK Mart dan Kerajaan Samarkand akan membuka potensi pasaran baharu, peluang perniagaan dan pekerjaan di Malaysia.
Sepatutnya kini tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa apatah isu sama terus berulang. Dari luka goresan ke atas perasaan umat Islam, ia telah menjadi cedera lebih dalam. Sampai bila Islam dan umatnya terus dipersenda dan dipermain? – HARAKAHDAILY 18/1/2025











