
LOS ANGELES: Pelakon utama filem pecah panggung Hollywood Scream V dan Scream VI, telah digugurkan namanya daripada membintangi sekuel filem itu, Scream VII gara-gara mengkritik tindakan Israel sejak meletus perang Hamas-Israel sejak 7 Okt lalu.
Melissa Barrera, 33, yang memegang watak Samantha Carpenter dalam dua daripada enam siri francais Scream itu sebelum ini lantang bersuara mengenai konflik perang Hamas-Israel di Instagram, menyeru gencatan senjata di Gaza dan Israel; dan baru-baru ini menggambarkan Palestin sebagai ‘negara jajahan’, selain menuduh tentera Israel melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai & pembersihan etnik’ di Insta Story (siaran cerita) dalam Instagramnya.
Siaran cerita terbaharu pelakon kelahiran Mexico di Instagramnya tentang konflik Hamas-Israel muncul pada Selasa (21 Nov) dan masih dalam talian pada ketika ini, lapor Los Angeles Times.
Penerbit francais filem Scream, Spyglass Media Group Media Spyglass, dalam satu kenyataan petang Selasa berkata: “Pendirian Spyglass jelas bahawa kami tidak bertolak ansur terhadap antisemitisme atau hasutan kebencian dalam apa jua bentuk, termasuk rujukan palsu kepada pembunuhan beramai-ramai, pembersihan etnik, Holocaust atau apa-apa yang secara terang-terangan melintasi batas menjadi ucapan kebencian.”
Wakil Paramount Pictures, syarikat pengedar siri filem Scream yang setiap satu hanya menelan kos antara AS$15 juta hingga AS$49 juta berbanding kutipan keseluruhan francais yang telah mengumpul lebih AS$900 juta kutipan pecah panggung di seluruh dunia itu, bagaimanapun enggan mengulas mengenai isu berkenaan.

Hollywood berpecah angkara perang Hamas-Israel
Terdahulu, Barrera, 33, merupakan antara 55 selebriti terkenal Hollywood yang telah menandatangani surat terbuka kepada Presiden Joe Biden, menggesa agar gencatan senjata di Gaza dan Israel diadakan, yang termasuklah Milla Jovovich, Ben Affleck, Jennifer Lopez, Bella Hadid, Dua Lipa, Gigi Hadid, America Farrera, Andrew Garfield, Cate Blanchett, Channing Tatum, Kirsten Dunst, Kristen Stewart, Mark Ruffalo, Bradley Cooper, Rosie O’Donnell, Susan Sarandon, dan Joaquin Phoenix.
Perang Hamas-Israel telah menjadi isu yang amat serius sehingga memecahbelahkan warga Hollywood antara yang menyokong Israel, di samping yang bersuara bagi hak dan nasib rakyat Palestin, serta yang langsung tidak bersuara.
Pada Selasa (21 Nov) juga, nama pelakon veteran tersohor Hollywood, Susan Sarandon, 77, dilaporkan telah digugurkan oleh UTA – agensi yang mewakili karier lakonannya, selepas membuat kenyataan yang disifatkan sebagai antisemetik dalam beberapa perhimpunan pro-Palestin di New York yang disertainya sebelum ini.

“Terdapat ramai orang (rakyat Amerika Syarikat) takut menjadi Yahudi pada masa kini dan merasai bagaimana rasanya menjadi seorang Muslim di negara ini (Amerika Syarikat),” tegasnya.
Dalam kenyataan lain yang dirakam dalam video, pemenang Oscar itu menggalakkan orang lain untuk terus bersuara menyokong rakyat Palestin dalam perang Israel-Hamas.
“Orang ramai mempersoalkan, masyarakat kini bangkit, mendidik diri mereka sendiri, orang ramai menyedari dan melepaskan diri daripada dimomokkan sejak kanak-kanak lagi.
“Jadilah seorang yang kuat, sabar, jelas, tegas dan bangkit bersama-sama sesiapa sahaja yang berani untuk bersuara,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/2023




















