Kelantan miliki simpanan REE 2.5 juta tan

Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hasan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebuah jawatankuasa akan ditubuh untuk memastikan kerajaan negeri mendapat sepenuhnya manfaat unsur nadir bumi (REE) yang terdapat di Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, bagi memenuhi hasrat itu dua kali bengkel diadakan berkaitan penerokaan REE.

Katanya, Kelantan dijangka mempunyai simpanan REE berjumlah 2.5 juta tan mencecah nilai RM125 bilion daripada RM700 bilion deposit yang terdapat di seluruh negara.

“Satu jawatankuasa akan diwujudkan untuk memastikan kita mendapat sepenuhnya manfaat REE untuk negeri dan rakyat.

“Usaha ini tanpa perlu bergantung kepada pihak pihak ketiga bagi mengelakkan berulang kes seumpama royalti petroleum,” katanya ketika menjawab soalan Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil (PN-Kuala Balah) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Sebelum itu Abdul Hadi ingin mengetahui persediaan kerajaan negeri untuk memastikan kepentingan kerajaan dan rakyat terjamin dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kelak.

Soal beliau adakah Kelantan mengikut jejak langkah yang sama pernah dibuat Terengganu menubuhkan Majlis REE Terengganu bagi mengurus pengeluaran sumber REE.

Dr Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri merangka perancangan bagi pengambilan pekerja dalam kalangan anak tempatan untuk bekerja dalam sektor tersebut.

“Kita bagi latihan supaya mereka akan menjadi pekerja mahir bukan sahaja kerja-kerja berkaitan pengeluaran.

“REE banyak bergantung syarikat luar terutamanya China, namun kita akan mengadakan usaha sama dengan syarikat tempatan buat peringkat permulaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/2023

- Advertisement -