
KUALA LUMPUR: Kemiskinan dalam kalangan penduduk sesebuah negara tidak boleh ditakrifkan dengan hanya merujuk kepada angka gaji atau pendapatan bulanan semata-mata.
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Muamalat, Dato’ Abdul Manap Abdul Wahab berkata, nilai mata wang sendiri juga memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada seseorang itu benar benar menghadapi kemiskinan atau sebaliknya.
“Buktinya jika kita melihat ibu dan bapa kita dulu hanya mempunyai gaji dalam lingkungan RM200 tetapi masih boleh membeli macam-macam barangan keperluan berbanding dengan sekarang.
“Namun, bila kita lihat sekarang walaupun gaji mempunyai lebih daripada RM2,000 tapi masih tidak mencukupi kerana inflasi itu sendiri,” katanya dalam program Menoktahkan Kemiskinan Realiti Atau Khayalan anjuran Pusat Kajian Pembangunan Ungku Aziz di Universiti Malaya, di sini, semalam.
Turut hadir ialah pakar ekonomi Islam bebas Universiti Malaya (UM), Prof Mohd Nazari Ismail; Pengarah Eksekutif J-PAL Southeast Asia, Lina Marliani; CEO Arba Foundation Azlan Shah Nabees Khan; dan Pengarah Pusat Kajian Pembangunan Ungku Aziz Prof. Dr. Suhaiza Hanim Mohamad Zailani.

Menurut Mohd Nazari pula, ramai orang menyatakan definisi kemiskinan hanya sekadar bergantung kepada angka pendapatan semata-mata.
“Ramai orang berfikir sesiapa yang mempunyai gaji melebihi RM2,000 maka dikatakan kaya tetapi lupa bahawa kawasan yang didiami juga memainkan peranan sama ada pendapatannya cukup atau tidak,” katanya.
Tambah beliau, gaji sebegitu boleh dikatakan mencukupi apabila seseorang itu tinggal di luar bandar manakala yang duduk di bandar berada dalam keadaan sebaliknya.
“Terdapat beberapa kajian kes yang mana sekalipun sesiapa yang menetap di kawasan bandar yang mempunyai gaji melebihi RM2,000 masih bermasalah dalam memenuhi keperluan kos asas kehidupan.
“Jadi, ini membuktikan takrif kemiskinan tidak boleh hanya berasaskan pendapatan seperti gaji semata-mata,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2023




















