
PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai akan berlangsung esok, 7 Oktober.
PERIKATAN NASIONAL mencalonkan Cikgu Kasim Samat yang berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN) dan Bebas pada PRK ini.
Bagi Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Cikgu Kasim mempunyai cukup syarat untuk dipilih sebagai wakil rakyat pada PRK Pelangai.
“Dengan itu kita sangat mengharapkan supaya orang Pelangai memilih calon kita, Cikgu Kasim Samat,” ujarnya pada satu majlis di Simpang Pelangai, baru-baru ini.
Berikut ialah petikan ucapan beliau.
Tujuan pilihan raya untuk tambah jumlah Adun kita peringkat negeri.
Kita perlu Adun yang bersama dengan kita untuk membuat perubahan.
Dengan itu kita sangat mengharapkan supaya orang Pelangai memilih calon kita, Cikgu Kasim Samat
Tugas calon menjadi wakil kita di dewan (Dun) untuk amar makruf nahi munkar, bukan senyap dalam dewan, yang baik disokong yang mungkar dicegah.
Cikgu Kasim ada kemampuan dalam menunaikan amar makruf dan nahi mungkar ini kalau masuk Dewan Negeri kerana dia mendapat pendidikan tinggi dalam bidang akademik dan Kolej Islam Klang, pengajian agama.
Cukup syarat jadi pemimpin, cikgu pula kepada calon Barisan Nasional. Pilih calon yang layaklah untuk jadi wakil kita, bukan untuk berbual di kedai kopi, untuk masuk Dewan Negeri untuk menyampaikan perjuangan kita, tujuan kita, kewajipan agama, suruh yang baik cegah kemungkaran dan kuasa memerintah negeri.
Ini makna wakil rakyat dalam pilihan raya. Maka tanggungjawab tuan-tuan sangat besar
Kita orang Islam mesti percaya akan ditanya pada hari kiamat.
Kita jangan ingat malaikat yang tulis amalan ni, dia tunggu kat tikar sembahyang, tunggu kat masjid, lepas tu tutup buku, kita buat kerja lain malaikat tak tulis, tak. Malaikat tulis semua kerja kita, rezeki, halal tak halal, belanja bagaimana, percakapan kita, pengurusan kita, pemimpin yang kita pilih, pemimpin yang kita ikut siapa dia, semua malaikat tulis, ada suratan amal yang tak boleh dimainkan, tak boleh ditipu.
Tunai tanggungjawab mengundi ini sepenuhnya sebagai tanggungjawab orang Islam.
Saya merayu, saya tak boleh paksa, boleh fikir-fikirlah, pilih calon kita yang mewakili PERIKATAN NASIONAL untuk jadi wakil kita. – HARAKAHDAILY 6/10/2023











