Walau gantung bendera BN, tuan rumah suka PN

- Advertisement -

BENTONG: “Ada rumah-rumah tu memang digantung siap-siap bendera Barisan Nasional (BN) dan ditulis siap-siap ‘kami sekeluarga adalah penyokong BN’.

- Advertisement -

“Ianya macam sengaja diletak, dan diselit di tepi-tepi tingkap tapi sebenarnya apabila kita berbual dengan mereka, mereka suka kepada PERIKATAN NASIONAL (PN), mereka suka kepada Tan Sri Muhyiddin,” kata ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemubual oleh Pengarah Pilihan raya Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang, Yusma Yusof hasil daripada kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pelangai, hari ini.

Malah, katanya mereka kecewa dengan perkembangan pentadbiran kerajaan yang sangat menekan kehidupan dengan harga barangan yang mahal terutama beras dan gula.

“Bila lihat pada keseluruhan yang saya sempat santuni tadi rakyat sebenarnya, hati mereka memilih untuk bersama PN tetapi mungkin kerana ada sesuatu pihak, yang saya tidak pasti, mungkin ada cabaran atau ugutan kepada mereka.

“Mereka seolah-olah takut, untuk memberi sokongan secara terbuka tetapi di belakang mereka menyokong untuk mengundi kita, itulah janji mereka,” ujar Siti Zailah lagi.

Turut sama dalam program ziarah tersebut adalah Noratiqah Abu Bakar iaitu isteri calon PN pada PRK Dun Pelangai, Cikgu Kasim Samat bersama Pasukan Kempen Muslimat dan Jentera Wanita PN. – HARAKAHDAILY 5/10/2023

- Advertisement -