RCI Tabung Haji ketika PRN N9, ada kaitan isu eFishery?

PAS tidak kompromi pihak terbukti langgar undang-undang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan masa pengumuman pembentangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) yang dibuat ketika landskap politik Negeri Sembilan sedang berubah.

Beliau menyambut baik kenyataan Perdana Menteri untuk membentangkan laporan RCI berkenaan, namun berpandangan laporan itu sewajarnya dibentangkan lebih awal kepada umum demi kepentingan umat Islam dan ketelusan pentadbiran negara.

- Advertisement -

“Persoalannya, mengapa setelah sekian lama laporan ini tidak dibentangkan, pengumuman mengenainya dibuat ketika landskap politik Negeri Sembilan sedang berubah. Termasuk perkembangan hubungan politik antara BN, PH dan PERIKATAN NASIONAL (PN).

“Kerajaan perlu menjelaskan perkara ini bagi mengelakkan persepsi bahawa laporan RCI hanya diketengahkan apabila wujud kepentingan atau tekanan politik tertentu,” gesanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menjelaskan, PAS sebelum ini berulang kali mendesak supaya hasil dapatan RCI yang ditubuhkan pada 2022 dibentangkan kepada umum dengan segera.

Ujarnya, PAS kekal dengan pendirian bahawa sebarang salah laku yang bercanggah dengan nilai Islam dan undang-undang negara mesti disiasat serta diambil tindakan tanpa mengira pihak terlibat.

“Kita tidak mahu RCI Tabung Haji yang dilaksanakan menggunakan dana awam menerima nasib sama seperti laporan RCI berkaitan Batu Puteh, yang pembentangannya di Parlimen menjadi pertikaian.

“Laporan yang melibatkan kepentingan awam tidak seharusnya dikendalikan berdasarkan percaturan politik atau kepentingan mana-mana pihak,” tempelak beliau.

Mengulas kepentingan institusi berkenaan, Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang itu menegaskan, Tabung Haji ialah institusi yang sangat dekat dengan umat Islam di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berpandangan ketelusan dalam mengurus dan menjelaskan segala isu membabitkan institusi tersebut amat penting bagi memastikan keyakinan umat Islam terhadap Tabung Haji terus terpelihara.

“PAS sekali lagi menegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti melanggar undang-undang. Sekiranya terdapat salah laku, mereka yang bertanggungjawab mesti dihadapkan kepada proses undang-undang secara adil dan telus,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim memaklumkan masa pengumuman pembentangan laporan RCI TH turut menimbulkan persoalan apabila ia dibuat ketika isu pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam eFishery di Indonesia sedang hangat diperkatakan.

“(Perkara itu) boleh menimbulkan persepsi bahawa isu RCI Tabung Haji sedang digunakan sebagai helah politik untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu yang sedang membelenggu kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2026

- Advertisement -