Terdapat campur tangan PM dalam Parlimen – Salamiah

Salamiah Mohd Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Terdapat elemen campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam Sidang Parlimen Dewan Rakyat pada hari ini.

Ahli Parlimen Temerloh dari PERIKATAN NASIONAL (PN), Salamiah Mohd Nor berkata tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, menangguhkan sidang parlimen selepas perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 merupakan perkara yang luar jangkaan daripada sidang-sidang parlimen sebelum ini. 

- Advertisement -

Tambahan pula, katanya,  ketua whip PN dan ketua Pembangkang telah membangkitkan bagaimana usul yang dikemukakan ditolak oleh Perdana Menteri itu sendiri luar daripada sidang parlimen sebelum bermulanya perbahasan mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Seperti yang kita ketahui bahawa Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan diberikan janji oleh Yang Berhormat Tan Sri Speaker ( (Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul) selepas perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 kajian separuh penggal untuk membawa usul mengenai pembebasan Datuk Seri Zahid Hamidi daripada 47 kes rasuah tetapi lain pula yang terjadi,” katanya kepada HarakahDaily

Menurut beliau lagi, terdapat kemungkinan berlakunya campur tangan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelakkan usul tersebut dibahaskan dalam parlimen hari ini. 

Tambah beliau, perkara sebegini jika dibiarkan akan menyebabkan berlakunya pelbagai kezaliman yang dilakukan oleh mana-mana ahli politik yang bersifat gila kuasa. 

“Seharusnya kes sebegini perlu diberikan perhatian sepenuhnya dalam sidang parlimen pada hari ini kerana melibatkan imej negara ini dan sistem keadilan yang sedia ada di negara ini. 

“Sekarang, kita sendiri boleh melihat pembebasan Datuk Seri Zahid Hamidi daripada 47 kes rasuah benar-benar mengecewakan ramai rakyat negara ini dan seharusnya ini perlu dijadikan topik utama dalam perbahasan Dewan Rakyat pada hari ini,” tegasnya. 

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada setiap rakyat negara ini untuk melihat sendiri ketidakadilan yang dilakukan oleh kerajaan pada masa ini. 

“Kita semua boleh lihat hari ini bagaimana Parlimen sudah mula dikuasai oleh kerajaan itu sendiri dalam membela pelbagai jenayah yang dilakukan.

“Maka saya menasihatkan setiap rakyat supaya berhati-hati dengan segala tindakan yang dilakukan oleh apa pun kerajaan yang memegang pentadbiran persekutuan lebih-lebih lagi pada masa ini,” katanya. – HARAKAHDAILY  11/9/2023

- Advertisement -