
ADA para penganalisa politik mendakwa kemenangan PH di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram adalah bukti yang kombinasi PH BN adalah satu pakatan politik yang kukuh dan bertenaga.
Ada yang mendakwa ‘Gelombang Hijau’ tidak mencecah bumi Johor sebagaimana ia melanda negeri-negeri lain.
Tak mengapalah ini negara bebas, siapa pun boleh menyuarakan pandangan dan pendapat walaupun kadangkala ia lebih kerana kepentingan tertentu, tidaklah jujur dan terbuka sangat.
Hakikatnya Parlimen Pulai dengan cuma 44.17 peratus pengundi Melayu, bukanlah kerusi majoriti Melayu. Demikian juga DUN Simpang Jeram yang cuma ada 52 peratus pengundi Melayu, bukanlah bumi subur buat pembinaan ‘Gelombang Hijau’.
Bermakna bukannya gelombang itu tidak cecah, ia memang tidak berlaku pun berdasarkan landskap politik yang ada.
Tak mengapalah jika ada mahu berbangga dan bergelak besar menang di ‘laman kampung sendiri’ itu.
Kemudian berapakah sebenarnya sumbangan Umno dalam kemenangan calon PH-PAN ini sehinggakan Umno yang nampak lebih melonjak dan berkepak-kepak?
Ahli MT Umno sendiri Saudara Isham Jalil mengakui hampir 9 daripada 10 (iaitu 90 peratus) pengundi BN sebelum ini tidak menyokong PH dalam PRK ini. Mereka sama ada tidak keluar mengundi atau telah undi PN. (Syukur ada juga pemimpin tertinggi Umno yang jujur)
Jadi apa sumbangan Umno sebenarnya? Orang Umno tak sokong PH, orang Melayu undi PN tetapi Presiden Umno dan juak-juaknya terlebih melonjak-lonjak meraikan kemenangan.
‘Winning combo‘kah begitu? Realitinya dalam dua PRK ini PH menang dengan sekali lagi undi dan sokongan ‘solid’ pengundi bukan-Melayu khasnya Cina yang benci pada PN hasil dakyah DAP.
Berbeza dengan pengundi Melayu yang ternyatakan bencikan PH dan DAP khasnya.
Lalu soalannya, apakah peranan Zahid dan Umno?
ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha Perhubungan
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 11/9/2023




















