Sepatutnya gred F – Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Sepatutnya gred F, namun mungkin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) masih ingin ‘menjaga hati’ kerajaan yang mentadbir jadi mereka beri markah simpati.

“Gred D itu terlalu tinggi untuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berhubung markah gred D yang diberikan BERSIH kepada pentadbiran kerajaan Madani.

- Advertisement -

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, membuat perbandingan kepada pelajar universiti dengan menyatakan bahawa kerajaan yang ada tidak melaksanakan tugasan kerja kursus dan didapati meniru dalam peperiksaan.

Semalam, BERSIH memberikan markah D iaitu 45.8 peratus kepada kerajaan campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sepanjang dua tahun mentadbir negara.

Pengerusi BERSIH, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pemarkahan itu menunjukkan wujud jurang signifikan dari aspek kemajuan, progres dan tindakan ke arah pelaksanaan reformasi.

Menurutnya, BERSIH ingin menekankan bahawa manifesto pilihan raya tetap terikat walaupun parti lain menyertai gabungan dan ia sepatutnya memberikan kelebihan dalam memenuhi semua agenda reformasi.

“Dalam 70 peratus skala pemarkahan akauntabiliti manifesto merangkumi Reformasi Pilihan Raya, status dua daripada tujuh masih dalam progres, manakala selebihnya tidak dilaksanakan.

“Bahagian Reformasi Institusi, lima dari 18 berjaya dilaksanakan, tujuh dalam proses dan lain-lain tidak dipenuhi. Hak Kebebasan Sivil pula tiga sudah dibuat, dua dalam proses serta tiga tidak terlaksana.

“Berkenaan penanda aras perbandingan dengan beberapa perdana menteri sebelumnya pula, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mencapai skor 18 dari 30 peratus,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2024

- Advertisement -