
ALOR SETAR: Generasi kini mesti bangkit untuk sekali lagi mendaulatkan negeri ini menjadi ‘Kedah Paling Ulung’ atau ‘The Greater Kedah’ di rantau ini, seru Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Tegasnya dalam ucapan yang membangkitkan motivasi, untuk melaksanakan cita-cita bersama ini ketahanan, kesungguhan, iltizam, semangat kepandaian, keberanian dan kepetahan harus disebarluaskan.
Beliau menyeru supaya mendapatkan sebanyak mungkin sokongan dan dukungan bantuan serta sumbangan rakan-rakan yang bersimpati dan bersama-sama untuk menjadi Kedah negeri yang hebat.
“Jangan serahkan negeri ini kepada tangan-tangan orang yang mencari makan di sini, tapi bercakap bagi pihak negeri lain. Jangan biarkan anak cucu kita terpengaruh dengan agenda yang dibawa oleh para pemimpin yang mengambil naratif penjajah (kononnya) sebagai naratif sejarah negeri.
“Kita akan tamatkan selama-lamanya naratif penjajah, kita akan noktahkan, cukuplah, berhentilah, sudahlah. Kami tak mahu dengar naratif penjajah. Yang kami nak tahu ialah hakikat sebenar apa yang telah terjadi kepada nenek moyang kami (perjuangkan).
“Apa yang telah terjadi terhadap kecurian, rompakan, pembunuhan, penyeksaan besar-besaran yang kamu (penjajah) lakukan kepada rakyat negeri ini,” ujarnya berucap pada Himpunan Kedah Berselawat Berbusana di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.
Menurut beliau, sejak tahun 1786 lagi sejarah negeri yang berkat ini telah ditenggelamkan untuk kepentingan penjajah dan konco-konco penjajah, sekali gus menggesa peranan oleh generasi kini.
Beliau menyeru supaya membuka lembaran sebenar yang telah disembunyikan begitu lama untuk rujukan panduan dan pedoman generasi kini dan akan datang bagi memimpin negeri ini sekali lagi.
“Menjadi negeri yang telah membawa cahaya Islam ke seluruh rantau ini,” ujarnya memberitahu matlamat yang mesti diperjuangkan itu dengan mengungkap kembali hakikat sebenar sejarah itu.
Tegas beliau lagi, apabila seluruh rakyat negeri ini mengambil kembali keberanian yang telah hilang yakni kedaulatan Sultan agar ia terserlah semula di seluruh Kedah khususnya dan negara ini amnya.
“Alhamdulillah kita rasa adanya sultan yang sedang memimpin negeri ini untuk membuka semula lembaran yang telah terlipat dan disembunyikan begitu lama. Ini keberanian kesungguhan iltizam, semangat yang kita ada.
“Untuk membangkitkan semula negeri ini tidak akan dipandang begitu sahaja. Kita tidak akan dibiarkan begitu sahaja,” ujarnya mengakui usaha itu akan berdepan cabaran dan tohmahan.
Sanusi optimis, peristiwa Pembukaan Makkah (Fathu Makkah) akan berulang dengan cara dan kaedah zaman ini, bukan lagi peperangan bersenjata sebagaimana Kota Konstatinople diambil.
Juga peringatnya, bukan dengan kekerasan tapi dengan iltizam dan kesungguhan untuk bangsa Kedah tidak akan lagi ditindas dan bangsa ini tidak mengizinkan lagi diinjak dipandang hina di dunia ini.
Menurutnya, generasi kini mesti buktikan untuk menjadi bangsa Kedah yang mempertahankan negeri dan watannya, serta untuk memajukan negeri dan rakyatnya dengan semampu mungkin.
“Dengan kesatuan, kesepaduan seluruh rakyat Kedah, saya yakin tanpa dukungan dan sokongan orang-orang yang dengki kepada kita pun, kita mampu bangkit sekali lagi dengan dukungan sokongan tuan puan.
“Meraih keberkatan dan pertolongan daripada Allah tidak ada apa lagi yang perlu dirisaukan. Kita akan terjadi seperti yang Allah kehendaki,” ujarnya menegaskan keberanian itu dengan benar tanpa segan silu kepada sesiapa.
Katanya, biar berdepan kuasa mana pun atau orang manapun yang ada kekuatan untuk menimbulkan ketakutan, rakyat mesti ingat bahawa mereka ada Allah SWT dan para alim ulama yang sentiasa menunjukkan jalan.
Kedah menurutnya menjadi sasaran besar untuk ditumbangkan hanya kerana bercakap benar terhadap hakikat apa yang berlaku tanpa rasa takut dan gentar, tanpa rasa takut hingga dipanggil celupar, bodoh dan angkuh.
“Ramai sekali para pimpinan yang akan datang kepada tuan puan menawarkan, ‘mari kalih bagi sama’. Hanya dengan sama saja Negeri dan Persekutuan barulah keadilan akan berlaku?
“Tuan-tuan, keadilan yang Allah perintahkan tidak perlu kepada sama atau tidak sama. Keadilan para pemimpin harus diberikan tanpa mengira latar belakang, dia pemimpin kamu atau bukan penyokong kamu.
“Selama kita menjadi sebahagian daripada negara ini. Kita tak perlu parti yang sama dengan mereka untuk mereka berlaku adil kepada kita dan kita berlaku adil kepada mereka. Inilah hakikat ilmu siyasah yang tak berani diungkapkan.
“Mereka hanya berani mengungkapkan akan berlaku keadilan, akan diberi peruntukan, akan diberi keistimewaan, akan diberikan apa yang kamu perlukan hanya apabila kamu sama dengan mereka, itu kempen songsang!” syaratnya.
Beliau menyeru terus bermunajat mengharap pertolongan Allah dan bersungguh-sungguh bekerja untuk pastikan kubu sendiri tidak tembus dari sisi yang dijaga dengan kukuh dan utuh.
Dengan demikianlah menurutnya Kedah tidak mampu digugat,oleh sesiapa yang memberi tumpuan penuh dan lebih untuk rampas negeri kerana tahu agungnya sejarah hebatnya negeri ini boleh pergi pada masa depan. – HARAKAHDAILY 25/6/2023

























