
ALOR SETAR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah secara rasminya akan dibubarkan pada 28 Jun ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu mendapat perkenan Tuanku Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, ketika pertemuannya bersama baginda pagi ini.
“Tuanku Sultan Kedah telahpun memberi perkenan untuk DUN Kedah ke 14 ini dibubarkan pada 28 Jun 2023,” jelas beliau pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.
Sanusi menghadap Tuanku Sultan di pejabat baginda (Wisma Darul Aman) kira-kira jam 10.45 pagi sebelum mengumumkan keputusan berkenaan kira-kira jam 12.20 tengah hari.
Sehubungan tegas beliau bermula tarikh pembubaran sehingga kerajaan negeri dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, pentadbiran negeri akan dijalankan oleh kerajaan interim (caretaker government).
“Kerajaan interim akan menjalankan pentadbiran seperti biasa, meluluskan program yang telah diluluskan sebelum ini sama ada dalam sidang DUN atau mesyuarat Exco.
“Semua bidang tugas ini adalah di bawah garis panduan penasihat undang-undang negeri.
“Sementara sebarang dasar atau dasar kelulusan baharu terutama melibatkan kewangan yang tidak termasuk dalam belanjawan sebelum ini tidak dibenarkan,” tambah beliau.
Dalam pada itu beliau tidak lupa mengucapkan setinggi penghargaan kepada Tuanku Sultan dan Sultanah, termasuk Raja Muda yang sentiasa memberi nasihat dan mengambil berat sepanjang tempoh kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) mentadbir negeri sejak 17 Mei 2020 dahulu.
Penghargaan juga kepada Setiausaha Kerajaan (SUK), Pegawai Kewangan, para pegawai dan kakitangan kerajaan termasuk mantan SUK, Dato’ Paduka Amar Dato’ Sheikh Mahmood Naim yang telah banyak membantu sepanjang tempoh tiga tahun ini.
“Ucapan terima kasih juga kepada semua Exco, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) penyokong kerajaan dan pembangkang yang telah melengkapkan konsep demokrasi berparlimen dalam pemerintahan,” tegasnya.
Katanya, dalam masa yang sama peranan dan pengorbanan seluruh rakyat Kedah juga tidak dilupakan.
Tegas Muhammad Sanusi lagi walaupun pelbagai ujian terpaksa dihadapi seperti Covid-19, tragedi aliran puing di Yan dan Kampung Iboi, semuanya dapat diurus dengan baik.
“Alhamdulillah, walaupun berat, ujian ini dapat kita tangani dan uruskan dengan baik,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 25/6/2023











