
KUALA LUMPUR: Negara kini sedang berdepan situasi ‘Defisit-Berkembar’ di mana mengalami defisit fiskal dan defisit keyakinan, demikian kata Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas ‘alasan’ yang diberikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa pelabur takut sebab wujud persepsi beliau akan dijatuhkan pada Ogos ini.
“Kawan dan kroni, jadi proksi. Pemimpin kanan parti, jadi pengerusi GLC. Menteri yang dilantik, ramai yang tidak berfungsi. Ringgit lemah, saham lemah. Eksport lemah, kuasa beli lemah.
“Masa jadi pembangkang, disalahkan kerajaan. Masa jadi kerajaan, disalahkan pembangkang,” tempelak Syahir yang juga penganalisis ekonomi.
Menurut beliau, inilah masanya PMX dan Jemaah Menteri memberikan sepenuh perhatian, sepenuh formula dan sepenuh tindakan, bagi melaksanakan segala janji dan reformasi yang dilaungkan.
Kata beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS, ekonomi akan pulih, apabila tumpuan diberikan di mana keyakinan akan pulih, apabila janji ditunaikan.
Terkini kadar tukaran Ringgit jatuh kepada RM4.68 berbanding Dolar Amerika yang merupakan rekod terburuk dalam sejarah dan sejak kerajaan pimpinan Anwar menerajui negara.
Bursa Malaysia juga setakat minggu lalu terus melihat penjualan ekuiti oleh pelabur asing yang mendorong aliran keluar bersih asing meningkat kepada RM189.4 juta, sekali gus menjadikan jumlah aliran keluar tahun ini mencecah RM3.66 bilion. – HARAKAHDAILY 25/6/2023




















