
KUALA LUMPUR: Sukan bot air di Temerloh berpotensi dijadikan daya tarikan sektor pelancongan di negeri Pahang, namun buat masa ini belum ada langkah daripada kerajaan pusat untuk memajukannya.
Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) dalam kenyataannya bertanya adakah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bercadang untuk menjadikan sukan bot air Temerloh dimasukkan dalam takwim tahunan pelancongan.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
“Adakah pihak kementerian (MOTAC) bercadang untuk menjadikan sukan bot air yang sangat berpotensi ini dimasukkan dalam takwim sempena Tahun Melawat Malaysia (TTM) ataupun Tahun Melawat Pahang (TMP)?
“Kedua, adakah kementerian mempunyai rancangan projek pelancongan lain yang dapat memajukan sektor pelancongan di Temerloh yang dikenali sebagai Tiket Tengah Semenanjung (TTTS) dan Bandar Ikan Patin?” soal beliau.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri MOTAC, Khairul Firdaus Akbar Khan dalam jawapannya berkata, sukan bot air semestinya menjadi salah satu aktiviti dan sukan pelancongan yang telah dipromosikan seperti Dragon Bot di Sabah.
“Festival kerjasama daripada kementerian melalui kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk kita mempromosikan program, dan acara ini bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat antarabangsa.
“Mungkin ini boleh diselitkan sedikit sebanyak di dalam cadangan YB (Yang Berhormat) Temerloh (Salamiah Mohd Nor) untuk kita memperbesar atau merancakkan lagi sukan bot air ini ke satu tahap yang lebih baik.
“Seterusnya, kementerian akan mengambil maklum agar Pengarah Tourism dan Pengarah MOTAC negeri sentiasa berhubung dengan kerajaan negeri untuk mengenal pasti mana-mana produk yang dianggap satu daya tarikan pelancong di dalam dan di luar Malaysia agar dapat diselaraskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2023




















