
KUALA LUMPUR: Enam individu termasuk seorang warga China ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan “Calling Centre” penipuan dalam talian di sekitar Kajang, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata mereka yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita yang berumur 25 hingga 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah dan pihaknya turut merampas 19 unit telefon bimbit, empat unit komputer riba, dua unit “router Internet” dan satu set kunci rumah.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati “calling centre” atau pusat panggilan itu menjalankan kegiatan penipuan dalam talian dengan menawarkan pelaburan saham di negara China yang tidak wujud yang menyasarkan mangsa warga China.
“Sindiket ini menggunakan akaun-akaun palsu snowball finance melalui laman web Xueqiu iaitu https://xueqiu.com yang merupakan antara rangkaian sosial kewangan paling popular dalam kalangan pelabur di China untuk mencari mangsa di negara itu seterusnya menawarkan pelaburan dalam talian.
“Kesemua suspek itu dibawa ke Mahkamah Kajang bagi tujuan permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaid mengingatkan mana-mana individu agar tidak bekerja dengan sindiket penipuan dalam talian dan menjadikan pekerjaan di pusat panggilan penipuan dalam talian sebagai sumber pendapatan.
“Pekerjaan seperti ini ialah satu kesalahan jenayah dan mereka yang terlibat boleh dituduh di mahkamah. Polis akan mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan “calling centre” boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Daerah Kajang iaitu 03-89114242. – BERNAMA











