Pembeli rumah PR1MA rugi belasan ribu ringgit

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil serius tentang projek rumah di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dikategorikan sebagai ‘sakit’ dan menyebabkan orang yang membelinya mengalami kerugian.

- Advertisement -

Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, beliau telah meminta kerajaan untuk mengatasi isu penyamaran sebagai ejen menjual rumah PR1MA sehingga mengakibatkan pembeli kerugian belasan ribu ringgit.

“Aduan tentang ‘projek sakit’ ini kualiti rumah-rumahnya retak, tak ikut spesifikasi. Apa tindakan yang kerajaan buat terhadap pemaju yang memajukan projek PR1MA ini?

“Kedua, ada juga kes penipuan menjual rumah PR1MA ini, kes ini berlaku di perumahan PR1MA Simpang Empat Alor Setar. Ada ejen yang tertentu menyamar menggunakan nama PR1MA. 

“Kesemuanya logo, kepala surat PR1MA, surat tawaran daripada bank dan dimaklumkan ada hampir 100 orang pembeli yang telah tertipu dan telah membayar duit belasan ribu ringgit setiap seorang menggunakan nama PR1MA. Adakah pihak kementerian sedar benda ini berlaku dan apa tindakan untuk mengatasi kes ini?,” soal beliau.

Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam jawapannya berkata, kementeriannya mengambil maklum isu ‘kecacatan’ projek PR1MA itu jika pihak pemaju tidak memberi kerjasama kepada pembeli.

Akmal turut mengakui terdapat penyamaran ejen PR1MA berleluasa di media sosial dan perlu membuat laporan polis sekiranya sebarang keraguan pengiklanan dan penyamaran ejen berlaku.

“Saya nak nasihatkan kepada bakal pembeli untuk semak terus di laman sesawang PR1MA, jangan percaya kepada ‘third party link’ (pihak ketiga) daripada Facebook, Twitter dan sebagainya; sebenarnya boleh datang ke showroom rumah PR1MA untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,”  katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2023

- Advertisement -