
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah diminta memberikan penjelasan mengenai pembinaan jalan raya yang menghubungkan Sungai Lembing ke Jerantut.
Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata, projek yang pernah diumumkan kerajaan sepatutnya bermula pada 2017 dengan anggaran kos sebanyak RM640 juta itu bagaimanapun masih belum dilaksanakan sehingga sekarang.
Menurut beliau, laluan terbabit sangat penting kepada penduduk tempatan kerana menjadi penghubung utama bagi kawasan pendalaman Pahang Timur, Pahang Barat dan Pahang Tengah.
“(Saya) Meminta kerajaan menyatakan status jalan Sungai Lembing-Jerantut yang sepatutnya bermula pada tahun 2017, dengan anggaran kos sebanyak RM640 juta.
“Jalan raya ini sangat penting kerana ia menjadi laluan utama yang menghubungkan kawasan pedalaman di Pahang Timur, Pahang Barat dan Pahang Tengah,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melaksanakan kajian dan rekabentuk awal bagi projek itu.
Dato Rubiah Wang (BN-Kota Samarahan) berkata, hasilnya akan diputuskan skop dan kos bagi tujuan permohonan dibawah program Jalan Luar Bandar (JLB) dalam ‘rolling plan’ akan datang.
“Butiran kajian dan reka bentuk awalan ini telah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi kepada Kementerian ini di bawah RP-2, RMKe-12 Tahun 2022 dengan kos RM6 juta.
“Permohonan projek ini dijangkakan akan dibahagikan kepada beberapa fasa sekiranya kos projek yang dimuktamadkan nanti terlalu tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2023




















