
BACHOK: Pelajar anak yatim piatu yang cemerlang SPM dengan memperolehi 11A, Muhammad Syahril Saidi sehingga sekarang menerima lebih 10 tawaran untuk melanjutkan pelajaran termasuk biasiswa.
Katanya, beliau perlu melakukan solat istikharah dan berbincang dengan keluarga sebelum membuat sebarang keputusan.
“Setakat ini biarlah saya meneruskan pengajian di Maahad Yaakubiah Kampung Nipah untuk mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi mencapai cita-cita menjadi seorang pensyarah.
“Saya akan buat perancangan, langkah demi langkah untuk pilih mana yang terbaik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kandis.
Pelajar terbabit yang tabah menjaga arwah ibunya mendapat perhatian ramai selepas memperolehi keputusan cemerlang SPM yang diumumkan Khamis lepas.
Beliau menerima tawaran melanjut pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan biasiswa daripada pelbagai agensi termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan beberapa bank.
“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang memberi tawaran biasiswa kepada saya.
“Doakan saya dan keluarga, semoga kita berjaya dunia akhirat dan jadi pemimpin Islam yang benar-benar membawa kebenaran,” katanya.
Syahril yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Iman, Beris Lalang berkata, tidak sepatutnya hanya dia seorang sahaja diraikan atas kejayaan cemerlang SPM.
Kata beliau ramai lagi individu di sekeliling yang banyak membantu termasuk abang, kakak, ibu bapa saudara dan guru-guru. – HARAKAHDAILY 14/6/2023











