
ISLAMABAD: Pakistan membayar import pertama bekalan minyak mentahnya dari Rusia dengan menggunakan mata wang yuan China.
Menteri petroleum negara Asia Selatan itu, Musadik Malik dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan satu peralihan ketara dalam dasar pembayaran eksport yang selama ini didominasi oleh dolar Amerika Syarikat, lapor South China Morning Post.
Urus niaga itu melibatkan diskaun dan bayaran penangguhan susulan Pakistan yang kini menghadapi krisis ekonomi dengan masalah imbangan pembayaran yang teruk, berisiko gagal bayar hutang luar negerinya.
Rizab pertukaran asing yang dipegang oleh bank pusat negara itu hampir tidak mencukupi untuk menampung import terkawal sebulan.
Kargo pertama minyak mentah Rusia yang diatur di bawah perjanjian tersebut yang dicapai antara Islamabad dan Moscow awal tahun ini tiba di Karachi pada Ahad (11 Jun) lalu, dan pada Isnin (12 Jun), ia dibawa masuk di pelabuhan di bandar selatan Karachi.
Musadik bagaimanapun tidak mendedahkan butiran komersial perjanjian itu, termasuk harga atau diskaun yang diterima Pakistan daripada, tetapi berkata, pembayaran dibuat dalam Renminbi (RMB).
RMB ialah nama rasmi mata wang China, yang mana unit utama RMB dipanggil sebagai yuan China (CNY).
Beliau berkata pembelian itu, yang merupakan perjanjian pertama antara Islamabad dan Moscow membabitkan 100,000 tan minyak mentah, menyaksikan 45,000 tan daripadanya telah berlabuh di pelabuhan Karachi dan selebihnya sedang dalam perjalanan.
Mengenai grednya, ujar Musadik, ia adalah salah satu minyak mentah yang lebih ringan berbanding sedia ada.
Pembelian minyak mentah oleh Pakistan memberikan Moscow cawangan baharu untuk menambah jualan yang semakin meningkat ke India dan China, sejak ia mengalihkan pejualan minyak dari pasaran Barat susulan konflik perang di Ukraine.
Pakistan memeterai perjanjian dengan Moscow pada April tahun ini untuk membeli minyak potongan harga, memecahkan monopoli dengan usaha sekatan yang diketuai AS.
Peralihan kuasa Barat ke Timur
Walaupun sudah lama menjadi sekutu Barat dan musuh ketat negara jiran India, yang dari segi sejarah lebih dekat dengan Moscow, penganalisis berkata perjanjian mentah kedua-dua Pakistan dan Rusia itu juga memberikan laluan baharu untuk Pakistan pada masa keperluan pembiayaannya yang sangat besar.
Islamabad awal bulan ini juga menggariskan proses untuk membuka perdagangan tukar barang dengan Rusia, Afghanistan dan Iran, satu lagi tanda ekonomi Asia Selatan mencari jalan untuk membeli dan menjual komoditi tanpa berdagang dalam dolar AS, yang menurut penganalisis boleh menjadi peralihan dari Barat ke Timur.
“Syarikat minyak Pakistan, Refinery Limited pada mulanya akan menapis minyak mentah Rusia, ujar Musadik, yang merujuk kepada pembelian penghantaran itu sebagai percubaan untuk menilai kebolehlaksanaan kewangan dan teknikal, namun beliau berkata pada hari Isnin bahawa semua ujian telah dilakukan dan mendapati minyak mentah Rusia sesuai untuk ditapis dan dipasarkan di Pakistan.
Beliau dalam pada itu mengenepikan kebimbangan mengenai daya maju kewangan dan keupayaan kilang penapisan tempatan untuk memproses minyak mentah Rusia memandangkan pengimportan produk petroleum Timur Tengah sebelum ini oleh Pakistan; yang mana sebahagian besar bekalan minyak mentah yang diimport Pakistan sebelum ini telah dibekalkan oleh pengeksport utama dunia, Arab Saudi diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Kami telah menjalankan lelaran pelbagai campuran produk, dan dalam senario penapisan minyak mentah ini, ia tidak akan merugikan,” katanya sambil menambah bahawa Pakistan sangat pasti ia akan berdaya maju secara komersial.
“Ia akan dicampur dengan kira-kira 60 hingga 70 peratus minyak mentah ringan Arab Saudi untuk penapisan,” jelasnya sambil menambah bahawa tiada pelarasan diperlukan di kilang penapisannya untuk menapis minyak mentah Rusia.
Malik bagaimanapun tidak akan menyatakan berapa banyak perbezaan yang akan dibuat oleh minyak mentah kepada harga di pam di pasaran tempatan, tetapi berkata ‘ia pasti akan membuat perbezaan’.
Menurut data daripada firma analisis Kple, import tenaga membentuk sebahagian besar pembayaran luar Pakistan, menyaksikan Islamabad mengimport 154,000 tong minyak sehari pada 2022, kira-kira sama seperti tahun sebelumnya.
“Kami sedang menyasarkan satu pertiga daripada jumlah import minyak kami terhadap bekalan minyak mentah Rusia,” kata Musadik. – HARAKAHDAILY 14/6/2023




















