
NEW YORK: Ketua PBB memberi amaran bahawa ancaman teknologi kecerdasan buatan (AI) adalah setanding dengan perang nuklear, sambil menyatakan sokongan dan gesaan untuk mewujudkan kod etika, sekaligus agensi bagi memantau dan mengawal perkembangan mutakhir teknologi moden tersebut.
Antonio Guterres yang dalam misi melancarkan laporan penting mengenai integriti maklumat pada platform digital berkata bahawa misi pengaman dan operasi bantuan kemanusiaan telah menjadi sasaran maklumat salah dan propaganda.
Dalam dalam sidang akhbar pada Isnin (12 Jun), beliau menegaskan akan menerima idea akan keperluan mempunyai agensi bagi menangani isu berkaitan teknologi berkenaan, sambil membangkitkan kebimbangan mengenai bentuk AI terkini, iaitu AI generatif.
Terdapat kebimbangan dan seruan untuk memperlahankan rentak perkembangan baharu dalam AI yang telah berkembang pesat dalam beberapa bulan kebelakangan ini apabila syarikat seperti OpenAI, Google dan Microsoft berterusan membina sistem berasaskan AI.
Beberapa orang terkenal dalam bidang itu, termasuk Elon Musk, menuntut jeda pada perkembangan pesat memetik ‘risiko yang mendalam kepada masyarakat dunia’.
“Platform digital mudah disalahgunakan untuk menumbangkan sains dan menyebarkan maklumat yang salah dan kebencian dalam kalangan berbilion umat manusia,” kata Guterres.
“Loceng penggera terhadap bentuk AI terkini, iaitu AI generatif sudah ke tahap mampu memekakkan telinga. Dan bunyi itu paling kuat daripada pembangun yang mereka bentuk teknologi tersebut.
“Para saintis dan pakar telah menyeru dunia untuk bertindak, mengisytiharkan AI sebagai ancaman yang wujud terhadap spesies manusia setanding dengan risiko perang nuklear. Kita mesti mengambil amaran itu dengan serius,” tegasnya.
Terdahulu, beratus-ratus saintis AI terkemuka berkata bahawa ‘mengurangkan risiko kepupusan fungsi manusia impak daripada AI harus menjadi keutamaan global buat masa ini.
Sehubungan itu, Gutteres menggesa kerajaan semua negara untuk menangani ‘kemudaratan global yang teruk’ yang disebabkan oleh ‘percambahan kebencian dan pembohongan’ dalam ruang digital.
Beliau justeru, menyeru tindakan global melalui ‘kod etika’ untuk integriti maklumat pada platform digital.
Beliau mencadangkan kompak digital global untuk tadbir urus global AI, bertujuan untuk mewujudkan pagar untuk membantu kerajaan bersatu mengikut garis panduan yang mempromosikan fakta, sambil mendedahkan konspirasi dan pembohongan, serta menjaga kebebasan bersuara dan maklumat.
Cadangan untuk kod tingkah laku termasuk komitmen oleh kerajaan setiap negara, syarikat-syarikat teknologi dan pihak berkepentingan lain untuk mengelak daripada menggunakan, menyokong atau menguatkan maklumat salah dan ucapan kebencian untuk sebarang tujuan.
Ia juga termasuk ikrar oleh kerajaan untuk menjamin landskap media yang bebas, berdaya maju, bebas dan majmuk, dengan perlindungan yang kukuh untuk wartawan serta protokol yang dipersetujui untuk tindak balas pantas oleh kerajaan dan platform digital apabila kepentingannya paling tinggi – semasa konflik dan ketegangan sosial yang tinggi.
“Saya akan melantik lembaga penasihat saintifik yang merangkumi beberapa pakar dari luar, termasuk dua pakar dalam kecerdasan buatan dan ketua saintis agensi PBB dalam beberapa hari akan datang ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2023




















