
KUALA LUMPUR: Walaupun menafikan bahawa aset kompleks produksi filem dan televisyen Iskandar Malaysia Studios (IMS) di Johor dijual, Timbalan Menteri Kewangan mendedahkan bahawa IMS menghadapi cabaran dari segi kemampanan kewangan.
Steven Sim berkata, keadaan diburukkan dengan kesan kepada industri perfileman akibat pandemik Covid-19.
“Jika Khazanah kekal sebagai pemegang saham IMS, Khazanah harus terus menyalurkan sokongan kewangan kepada IMS dengan anggaran kerugian sehingga RM14 juta setiap tahun,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan rasional penjualan aset IMS seluas 49 ekar yang bernilai RM32 juta di Iskandar Puteri kepada sebuah firma Singapura.
Katanya, aset IMS masih kekal dalam milikan Khazanah Nasional melalui anak syarikat bertujuan khas (SPV), Tanjung Bidara Ventures Sdn. Bhd.
“Apa yang berlaku ialah penjualan saham syarikat pengendali operasi studio, iaitu IMS. Ini merupakan inisiatif Khazanah untuk mencari rakan kongsi baharu yang dapat mengendalikan operasi studio dengan lebih baik.
“IMS sebagai syarikat pengendali studio hanya memajak tanah dan bangunan sehingga tahun 2036,” katanya.
Beliau berkata, Khazanah pada April 2022 membuat keputusan memilih Studio Management Services Sdn Bhd (SMS) untuk jalinan kerjasama ini.
Berikutan transaksi ini, katanya Khazanah akan menerima hasil penjualan saham syarikat pengendali operasi studio tersebut sebanyak RM32 juta serta anggaran bayaran sewa sehingga tahun 2036 berjumlah RM26 juta keseluruhannya.
“SMS juga dijangka membawa produksi baharu ke studio bernilai lebih RM800 juta dalam jangka masa lima tahun akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2023




















