
KUALA LUMPUR: Siasatan untuk mendakwa pimpinan PAS kononnya mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman adalah tindakan politik dan terdesak serta ketandusan isu oleh pihak kerajaan.
Media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan bahawa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Siasatan tersebut ekoran tulisan Ahli Parlimen Marang yang menyatakan golongan bukan-Islam dan bukan Bumiputera sebagai punca gejala rasuah di negara ini.
Turut disiasat Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang menyatakan bahawa golongan kafir tidak pernah mempunyai hasrat memartabatkan Islam sebagaimana ditunjukkan sirah Nabi SAW.
Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa berkata, ia hanyalah tindakan politik dan terdesak pihak kerajaan yang ketandusan isu untuk mengaitkan pembangkang dengan kesalahan.
“Isu lama dan sudah reda, seperti mereka ini (kerajaan) tetapi mentaliti masih ‘pembangkang’, menghangatkan sesuatu isu supaya rakyat pandang serong pada PN (Perikatan Nasional).
“Tidak ada salah apa yang Tok Guru sebut itu, ianya juga telah diakui oleh satu kajian daripada universiti tempatan bahawa 88 peratus dari pemberi rasuah adalah dalam kalangan bukan-Melayu.
“Sepatut pihak berkuasa memandang positif dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk membasmi perkara ini. Kerajaan juga perlu menukar method membasmi rasuah ini.
“(Iaitu) dengan memerangi golongan yang memberikan rasuah, bukan sekadar mereka yang menerima. Kerana gejala rasuah ini berbentuk dua hala. Apabila ada ‘demand’, pasti ada ‘supply’ nya.
“Jadi untuk menghapuskannya terus, perlulah diperangi dari pemberinya dahulu,” tegas beliau yang turut menyeru anak muda tidak mudah terpedaya dengan mainan politik pihak kerajaan sekarang.
Bidasnya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terlalu mudah terasa di mana disindir dalam loghat Terengganu sebagai ‘lembut sangat’ hingga langsung tidak boleh ditegur.
“Pada bulan Ramadan ini juga, saya mengajak anak muda perbanyakkan kerja-kerja kebajikan seperti yang dilakukan oleh PN kepada rakyat khususnya di Terengganu yang tidak putus-putus dengan kerja kebajikan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/4/2023




















