Tonto: Adakah anggota JPJ dilengkapi senjata?

Senator Dato' Husain Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kewujudan kumpulan tonto yang mengikuti pergerakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika beroperasi didapati masih aktif menyalurkan maklumat keberadaan kenderaan pihak berkuasa itu melalui media sosial.

Senator Dato’ Husain Awang berkata, maklumat dikongsi itu turut disertakan dengan gambar kenderaan JPJ, nombor plat serta lokasi operasi dilakukan. 

- Advertisement -

Menurutnya, tidak terkecuali rakaman gambar anggota JPJ yang sedang menahan kenderaan berat bagi tujuan amaran kepada pemandu lori atau treler lain yang bakal melalui lokasi berkenaan.

“Turut tidak terkecuali penyebaran gambar dan video anggota polis trafik bersembunyi di celah pokok bunga, belakang pokok atas jejantas atau di belakang tiang ketika melakukan operasi perangkap had laju.

“Malah, tanpa rasa takut mereka sengaja merakamkan gambar curi anggota polis dari jarak dekat di atas jejantas sebelum disebarkan kepada ahli kumpulan pemandu kenderaan berat.

“Mereka diibaratkan kumpulan perisik kepada anggota operasi yang ingin melakukan kesalahan di atas jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023, di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan berhubung sejauh manakah kewujudan tonto ini mengganggu kerja JPJ pada ketika ini.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan apakah inisiatif tegas yang dilaksanakan kementerian dalam menangani masalah yang tidak berkesudahan ini.

“Adakah JPJ sudah dilengkapi sebarang senjata bagi mempertahankan diri jika wujud ancaman pada bila-bila masa?,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/4/2023

- Advertisement -