Suspek ditahan lakukan jenayah kebencian di masjid Toronto

Persatuan Islam Markham (ISM) mendakwa suspek telah menerjah masuk ke dalam masjid di Markham, Toronto, Kanada sebelum mengoyak al-Quran dan memaki hamun jemaah Toronto Kanada dalam kejadian pada 6 April 2023. (FOTO: Arab News)
- Advertisement -

ONTARIO: Seorang suspek lelaki telah ditahan pihak berkuasa Kanada selepas apa yang mereka labelkan sebagai ‘insiden bermotifkan kebencian’ di sebuah masjid di wilayah Ontario.

Dalam kenyataan pada Ahad (9 Apr), pihak polis berkata dalam kejadian pada Khamis (6 Apr) lalu, suspek didakwa telah memandu ke arah seorang jemaah dan menjerit yang berbunyi ugutan serta cemuhan terhadap agama Islam, lapor Arab News.

- Advertisement -

“Insiden itu berlaku di bandar Markham manakala suspek, Sharan Karunakaran, 28, kemudian ditahan di Toronto,” ujar Polis Wilayah York, di sini dalam satu kenyataan.

Sementara, Menteri Perdagangan Kanada, Mary Ng mengecam kejadian itu dan menyifatkan ia sebagai jenayah kebencian, dengan mengatakan perkara itu  tidak mempunyai tempat dalam masyarakat Kanada.

“Keganasan dan Islamofobia ini tidak mempunyai tempat dalam komuniti kami,” kata Ng Kanada, yang juga merupakan ahli parlimen tempatan, dalam reaksinya terhadap insiden itu.

Sehubungan itu, Persatuan Islam Markham (ISM) berkata seorang individu telah memasuki masjid di Markham, 30 kilometer di  utara Toronto, pada hari kejadian dan telah mengoyakkan kitab suci al-Quran dan memaki hamun jemaah. 

Kenyataan polis yang dikeluarkan pada Ahad bagaimanapun tidak menyebut kejadian  al-Quran dikoyak suspek di masjid tersebut.

Insiden itu berlaku semasa bulan suci Ramadan, ketika beribu-ribu jemaah berpusu-pusu ke masjid  di Markham.

Polis menambah bahawa mereka mendakwa suspek atas sabit kesalahan mengeluarkan ugutan, menyerang dengan senjata dan memandu secara berbahaya. 

Suspek dijadualkan dihadapkan di  Mahkamah Keadilan Tinggi Ontario di Newmarket pada  Selasa (11 Apr). – HARAKAHDAILY 10/4/2023

- Advertisement -