Pelepasan cukai RM4,000 tak cukup untuk OKU

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menilai semula kos pelepasan cukai sebanyak RM4,000 terhadap ibu bapa yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU).

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, keperluan intervensi dan pengurusan anak-anak orang kurang upaya (OKU) sekarang ini melibatkan kos yang tinggi.

- Advertisement -

“Bagi saya, (pelepasan cukai) RM4,000 adalah jumlah yang kecil berbanding kos yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa termasuk kos-kos rawatan, pengurusan dan taska.

“Ini (pelepasan cukai sebanyak RM4,000) amat kecil kalau dibandingkan dengan keperluan yang sebenar.

“Jadi, saya mengharapkan supaya kerajaan menilai semula kos pelepasan RM4,000 ini sama ada kita naikkan jumlahnya ataupun kita membuat pelepasan mengikut jumlah bilangan anak OKU yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa perbahasan Rang Undang-Undang Akta Cukai Pendapatan 1967 di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Sementara itu, Wan Martina memberitahu bahawa beliau telah mendapat aduan daripada setengah OKU yang menghadapi  kesukaran untuk mendapatkan surat-surat penilaian ataupun diagnosis daripada pihak doktor kerajaan. 

“Merujuk kepada pindaan Seksyen 46 nombor 4, penilaian yang dilakukan oleh doktor-doktor swasta adakah dibolehkan, sebab kita dapat aduan daripada setengah OKU yang menyatakan sukar untuk mendapat surat-surat penilaian ataupun diagnosis daripada doktor-doktor kerajaan.

“Jadi untuk memudahkan, adakah penilaian dan diagnosis yang dibuat oleh doktor swasta diterima?,” soalnya. – HARAKAHDAILY 10/4/2023

- Advertisement -