
TEPAT tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam usaha memadamkan api perjudian di negeri jelapang padi itu. Pemuda PAS Johor menyokong sepenuhnya tindakan menutup premis judi kerana ianya hanya mendatangkan lebih banyak perkara buruk daripada kebaikan.
Judi adalah dilarang dalam setiap agama. Bagi mereka yang suka judi mereka merasakan banyak manfaat. Sedangkan dosanya lebih besar dari manfaatnya:
“Mereka bertanya kepadamu mengenai khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.” Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ” Yang lebih dari keperluan.” Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir.”
(al-Baqarah: 219)
Apabila diturunkan ayat mengharamkan arak dan judi secara total, maka tiada lagi persoalan ‘manfaat’ atau ‘illah’ di situ. Maka diharamkan arak dan judi di atas perintah Allah S.W.T. Ubudiyyah kita kepada Allah:
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).”
(al-Maidah: 90-91)
Ketika ayat ini diturunkan, ‘Umar lantas mengatakan, ‘Kami berhenti, kami berhenti.’
Sudah sekian lama masyarakat di Malaysia menderita akibat barah ketagihan taik judi yang memberi impak kepada keluarga amnya. Apabila si suami mahupun ketua keluarga menjadi penjilat najis judi pastinya berakhirlah kebahagiaan sesebuah keluarga.
Setakat ini belum ada lagi mereka yang menjadi kaya hanya bermodalkan wang daripada judi tetapi masalah disebabkan judi cukup banyak untuk dilihat. Disebabkan ketagihan judi keluarga porak peranda, ditagih hutang Ah Long, sehingga bergolok gadai tanah pusaka, sehinggakan ada yang sanggup menjual maruah anak serta isteri demi mendapatkan wang berjudi.
Usahlah DAP berdebat lagi, kononnya judi mampu menjana ekonomi negeri, akur sahaja arahan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
ABD RAHMAN FAUDZI
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 5/1/2023




















