
ALOR SETAR: Tindakan Kedah yang menjadi negeri ketiga di Malaysia selepas Kelantan dan Terengganu mengharamkan premis perjudian beroperasi adalah keputusan yang tepat.
Sehubungan itu, bermula 1 Januari 2023 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah tidak lagi menyambung dan meluluskan lesen premis judi di seluruh negeri berkenaan.
Negeri Jelapang Padi itu secara tidak langsung menjadikan ia bebas daripada sebarang bentuk judi termasuk Sport Toto, Nombor Ekor, Loteri dan sebagainya.

Keputusan berkenaan diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada 14 November 2021 sempena persidangan Dun Kedah.
Biarpun keputusan itu ditentang sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dari parti DAP, Amanah dan bekas Menteri Besar Kedah, namun langkah itu tetap diteruskan kerajaan negeri.
Sementelah pelbagai pihak termasuk orang ramai khususnya warga Kedah sendiri menyokong penuh tindakan tegas kerajaan negeri itu bahawa premis judi berlesen tidak lagi dibenarkan beroperasi di Kedah.

Seorang pengamal undang-undang, Nihaz Fitriyah Mohamad Yusoff berkata, tindakan yang diambil kerajaan negeri merupakan keputusan yang tepat.
Menurutnya, ia membuktikan negeri yang diterajui PAS serius menjaga kepentingan ummah bukan hanya terhadap orang Islam sahaja.
“Premis perjudian sejak kebelakangan ini tumbuh seperti cendawan selepas hujan, sedangkan ia tidak memberi sebarang manfaat.
“Dengan tiada premis judi secara tidak langsung dapat menutup lubang-lubang yang mendorong kepada gejala sosial akibat ketagihan judi,” hujahnya kepada HarakahDaily ketika ditemui di sini.

Seorang pelajar universiti, Siti Nur Shakirah Mohamad Noor pula menegaskan bahawa aktiviti judi bukan sahaja ditegah agama Islam, malah tidak digalakkan agama-agama lain.
Menjelaskan hujahnya, dia berkata, banyak berlaku kerosakan akibat ketagihan judi termasuk keluarga jadi porak peranda.
“Keputusan dibuat pimpinan Kedah adalah yang tebaik walaupun kerajaan terpaksa kehilangan cukai premis judi,” tegasnya.

Adam Malik Abd Malik, 25, pula menegaskan bahawa anak muda berdiri teguh di belakang menteri besar dan kerajaan negeri menutup semua premis judi beroperasi di negeri itu.
“Menteri Besar Kedah berani dan kami anak muda sokong penuh, sekurang-kurang kerajaan menutup salah satu lubang yang boleh membawa kerosakan masyarakat,” ujarnya.
Tambahnya, sebelum ini peluang berjudi begitu mudah kerana banyak terdapat premis perjudian di Kedah sejak dahulu lagi.
“Saya seronok sangat apabila menteri besar melaksanakan tindakan ini. Berjudi bukan boleh kaya pun sebaliknya keluarga jadi huru hara,” ujar Adam Malik.

Ibu kepada lima orang anak, Rajmah Sulaiman, 58, pula berkata, penutupan premis judi sekurang-kurang dapat membantu mengurangkan masalah sosial dan keruntuhan rumahtangga akibat judi.
“Saya sangat bersyukur kerana Kedah mengikut langkah yang dilakukan kerajaan Kelantan dan Terengganu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/1/2022




















