Gelombang Hijau diyakini kekal sehingga PRN

- Advertisement -

ALOR SETAR: Momentum kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diyakini masih kekal sehingga sekarang.

- Advertisement -

Pengerusi PN Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah dimenangi PN pada PRU15.

Katanya, walaupun digabungkan pengaruh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), PN diyakini masih mampu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Saya jangka PH boleh menang di tiga kerusi iaitu Dun Sidam, Kota Darul Aman dan Bakar Arang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ramai pemerhati politik menyifatkan gelombang hijau pada PRU15 sukar surut dalam tempoh jangka pendek.

Malah isyarat PRU Padang Serai memperlihatkan dengan jelas lebih 56 peratus pengundi Melayu menyokong PN kerana mereka kecewa PH bekerjasama dengan BN membentuk kerajaan di Putrajaya.

Kerjasama itu seumpama mengkhianati apa yang diperjuangkan PH dan BN sepanjang kempen PRU15 berlangsung.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat yakin PN mampu mempertahankan kemenangan pada PRN di Kedah.

Menurutnya juga, rakyat boleh menilai apa yang dilakukan pemimpin PH ketika menerajui kerajaan Persekutuan sekarang.

“Apa yang mereka (PH) buat, sebelum ini mereka kata pandai, apabila jadi kerajaan dalam tempoh sebulan masih tak tahu nak buat lagi. Semua formula tak boleh pakai.

“Sebaliknya momentum kita (PN) semakin baik. Tidak akan pudar. Kita juga buat kerja sehabis baik yang mampu,” tambahnya.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan yang berlaku sekarang PN mampu menang sekurang-kurangnya 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah. – HARAKAHDAILY 5/1/2023

- Advertisement -