Haaland mengganas, Arsenal terus sempurna

Gandingan Gabriel Jesus (kanan) dan Gabriel Martinelli (kiri) menjaringkan gol untuk Arsenal
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Arsenal mengekalkan permulaan sempurna musim Liga Perdana dengan kemenangan kelima berturut-turut, tetapi pemain baharu Manchester City, Erling Haaland, mencuri tumpuan dengan hatrik kedua ketika menewaskan Nottingham Forest 6-0, semalam.

Pemain yang pembeliannya mencatat rekod buat Newcastle, Alexander Isak menjaringkan gol pada penampilan sulung untuk meletakkan pasukannya di hadapan di Anfield, tetapi Liverpool merampas kemenangan 2-1 pada masa kecederaan menerusi Fabio Carvalho.

- Advertisement -

Tottenham Hotspur mengekalkan rekod tanpa kalah, tetapi terikat 1-1 di West Ham.

Ketibaan Haaland yang ditunggu-tunggu di Manchester City menyaksikan pemain Norway itu memberi impak yang menakjubkan.

Selepas menjaringkan tiga gol pada separuh masa kedua dalam kemenangan ke atas Crystal Palace pada hujung minggu, Haaland menjaringkan tiga gol ketika City bermaharajalela menewaskan Forest.

Dia mencatat rekod dengan menjaringkan sembilan gol dalam lima perlawanan liga sejak menyertai City dari Borussia Dortmund.

“Ia adalah meneruskan apa yang kami lakukan pada separuh masa kedua menentang Palace. Bermain, bermain, bermain. Ia bagus setakat ini, saya tidak merungut,” katanya.

Haaland meletakkan City di depan pada minit ke-12 melalui hantaran Phil Foden yang turut memberikan bantuan untuk gol kedua Haaland.

Haaland melengkapkan hatrik dengan tandukan kencang.

Pemain Argentina, Julian Alvarez, seorang lagi pemain baharu, menjaringkan dua gol selepas rehat ketika City sekali lagi mempamerkan aksi serangan menggerunkan.

City mempunyai 13 mata daripada lima perlawanan dan menjaringkan 19 gol, tetapi Arsenal semakin mengatur langkah ke hadapan.

Pasukan Mikel Arteta meraih kemenangan kelima apabila mengetepikan Aston Villa 2-1 di The Emirates melalui gandingan penyerang Brazil, Gabriel Jesus dan Gabriel Martinelli yang masing-masing menjaringkan gol untuk The Gunners.

Jesus membuka jaringan pada minit ke-31, manakala Martinelli meraih gol kemenangan pada minit ke-77, tiga minit selepas Villa yang bergelut menyamakan kedudukan apabila pemain gantian, Douglas Luiz, menjaringkan gol terus dari sepakan sudut.

“Kami benar-benar gembira kerana memenangi perlawanan dengan cara sepatutnya. Kami perlu perbaiki dan anda boleh lihat pada separuh masa kedua, tetapi cara kami bermain pada separuh masa pertama benar-benar menggembirakan sebagai jurulatih,” katanya.

Erling Haaland membuat hatrik kedua untuk Manchester City

Liverpool memulakan perlawanan dengan hambar apabila Isak, yang ditandatangani dengan bayaran 59 juta Pound dari Real Sociedad, mengejar hantaran Sean Longstaff untuk meletakkan Newcastle di hadapan pada minit ke-38, ia kelihatan seperti satu lagi malam kekecewaan.

Pemain berusia 22 tahun itu juga menggegarkan Liverpool namun jaringannya pada separuh masa kedua dibatalkan.

Liverpool akhirnya bangkit dan meledakkan gol pada minit ke-61 apabila hasil hantaran Mohamed Salah, Roberto Firmino menanduk masuk ke gawang.

Newcastle bertahan untuk berkongsi mata, tetapi kecewa apabila Carvalho menjaringkan gol kemenangan pada minit kelapan masa kecederaan membolehkan Liverpool naik ke tangga kelima dengan lapan mata, manakala Newcastle di tempat ke-11 dengan enam mata.

“Bola sepak boleh pergi ke dua arah, tetapi malam ini ia masuk ke arah yang betul, penghujung permainan yang sempurna,” kata Pengurus Liverpool, Juergen Klopp, yang mendakwa Newcastle menggunakan taktik membazir masa.

Pengurus lawan, Eddie Howe kurang gembira dengan keputusan perlawanan.

“Saya bangga dengan pemain, bangga dengan komitmen mereka, tetapi keputusan amat menyakitkan,” katanya.

Tottenham yang berpeluang mempunyai jumlah mata menyamai Manchester City sebanyak 13 mata, mendahului West Ham hasil jaringan sendiri Thilo Kehrer.

Bagaimanapun, Tomas Soucek memberikan mata kepada West Ham dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-55.

Bournemouth yang memecat Scott Parker sebagai pengurus, minggu ini selepas dibelasah Liverpool 9-0, boleh menarik nafas lega sedikit dengan keputusan seri 0-0 di tempat sendiri menentang Wolverhampton Wander.

Keputusan Perlawanan Liga Perdana

Arsenal 2 Aston Villa 1

Bournemouth 0 Wolves 0

Man City 6 Nottm Forest 0

West Ham 1 Tottenham 1

Liverpool 2 Newcastle 1

- Advertisement -